LANGKAWI: Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mempergiat usaha membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memperluas pasaran ke luar Langkawi dengan menangani isu cukai berganda yang menjejaskan daya saing usahawan di pulau itu.
Ketua Pegawai Eksekutif LADA Datuk Seri Iskandar Mohd Kaus berkata isu berkenaan antara yang dibangkitkan dalam sesi libat urus antara Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dengan wakil industri keusahawanan Langkawi baru-baru ini.
Beliau berkata antara isu utama yang diketengahkan ialah barangan yang dibawa masuk ke Langkawi dikenakan cukai, manakala produk yang diproses di pulau bebas cukai itu sebelum dipasarkan ke luar turut dikenakan cukai, sekali gus meningkatkan kos operasi usahawan.
“Keadaan ini memberi kesan kepada daya saing usahawan di Langkawi. Sehubungan itu, LADA telah diminta oleh Menteri Kewangan II untuk bekerjasama dengan Bahagian Cukai Kementerian Kewangan (MOF) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi meneliti isu ini supaya dapat membantu usahawan meningkatkan daya saing,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Iskandar berkata LADA akan mengadakan pertemuan lanjut dengan pemain industri bagi mengenal pasti secara terperinci isu yang dihadapi sebelum mengemukakan cadangan penyelesaian kepada MOF dan JKDM.
Beliau berkata semua pihak berkaitan telah diarah supaya menyelesaikan isu berkenaan secepat mungkin memandangkan cabaran itu memberi kesan langsung kepada kelangsungan PKS di Langkawi.
Katanya, LADA melihat pembangunan sektor keusahawanan sebagai antara agenda penting dalam memperkukuh ekonomi Langkawi yang tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada sektor pelancongan.
“Apabila jumlah pelancong berkurangan akibat faktor luar seperti konflik di Asia Barat, kita perlu memastikan usahawan kecil dan sederhana mempunyai peluang menjana pendapatan melalui pemasaran produk ke pasaran yang lebih luas, di samping terus mewujudkan peluang pekerjaan,” katanya.
Mengulas usaha memperluas pasaran, Iskandar berkata kebanyakan produk usahawan Langkawi, khususnya kraf tidak seharusnya hanya bergantung kepada pembelian oleh pelancong.
Beliau berkata LADA akan meneliti semula insentif berkaitan bersama kementerian dan agensi terlibat selain memperkukuh peranan Kompleks Kraf Langkawi dalam mempromosikan produk tempatan.
“Kita mahu memberi ruang kepada usahawan untuk memasarkan dan mengeksport produk mereka ke Semenanjung serta pasaran lain. Namun, hasrat itu berdepan cabaran akibat isu cukai bertimbal yang perlu diselesaikan melalui kerjasama dengan semua agensi terlibat,” katanya.
Beliau berkata penyelesaian terhadap isu cukai itu diyakini bukan sahaja dapat meningkatkan daya saing produk usahawan Langkawi, malah mengurangkan kebergantungan mereka kepada pasaran pelancongan tempatan serta membuka peluang perniagaan yang lebih mampan di peringkat nasional.
-- BERNAMA