KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengambil maklum laporan media berhubung pelaburannya dalam syarikat teknologi akuakultur Indonesia, eFishery, yang terpalit dengan isu manipulasi kewangan dan penyelewengan fakta dalam laporan kewangan syarikat berkenaan.
Dalam satu kenyataan, KWAP berkata, kes eFishery secara keseluruhannya melibatkan manipulasi kewangan yang disengajakan serta salah nyata terhadap laporan kewangan syarikat tersebut.
Perkembangan itu susulan hukuman penjara sembilan tahun yang dijatuhkan terhadap pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif eFishery, Gibran Huzaifah, oleh Mahkamah Negeri Bandung pada 29 April 2026 selepas beliau disabitkan kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram.
Menurut KWAP, jumlah keseluruhan pelaburannya dalam eFishery adalah sebanyak RM163.4 juta, yang mewakili kira-kira 2.51 peratus daripada keseluruhan pegangan saham syarikat tersebut.
KWAP menjelaskan, pihaknya merupakan pemegang saham minoriti dalam syarikat itu, manakala majoriti pegangan saham dimiliki oleh pelabur lain termasuk pelabur institusi global utama yang turut terkesan akibat salah laku berkenaan.
“Susulan pendedahan salah laku tersebut, KWAP telah melaksanakan semakan dalaman yang menyeluruh terhadap proses pelaburan, susunan pemantauan pascapelaburan serta maklumat yang tersedia kepada KWAP sepanjang tempoh pelaburan tersebut,” menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, KWAP berkata, tindakan susulan yang sewajarnya telah diambil selaras dengan tadbir urus dalaman dan kerangka akauntabiliti organisasi, selain terus meneroka semua saluran yang bersesuaian bagi memaksimumkan usaha pemulihan pelaburan berkenaan.
Dalam pada itu, KWAP memaklumkan, pihaknya sedang memperkukuh pendekatan terhadap pelaburan pasaran swasta menerusi beberapa langkah penambahbaikan.
Antara langkah tersebut termasuk kepelbagaian portfolio yang lebih meluas, pelaburan bersama pengurus dana berpengalaman serta rakan kongsi strategik, selain meningkatkan pemantauan selepas pelaburan dan pengawasan terhadap perkembangan material syarikat portfolio.
KWAP menegaskan, kedudukan kewangannya kekal kukuh dengan sokongan portfolio yang merangkumi pelbagai kelas aset, sektor dan geografi.
Berdasarkan pencapaian kewangan belum diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, KWAP merekodkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM8.33 bilion, manakala jumlah dana di bawah pengurusan meningkat kepada RM195.26 bilion.
KWAP juga menegaskan akan kekal komited untuk menguruskan dana secara berhemat, telus dan bertanggungjawab dalam melaksanakan mandat berkanunnya bagi membantu Kerajaan memenuhi obligasi pencen kepada pesara sektor awam.