Skip to main content

Malaysia

'Kurang 1 peratus pemandu lakukan kesalahan tol di Lebuhraya Karak, LPT1 bayar tuntutan LOD'

[TB]_JPJ_Nur 'Illiyyin Farhana
Anggota JPJ melakukan pemeriksaan ketika Operasi Khas Penguatkuasaan berkaitan kesalahan 'tailgating' dan pelanggaran peraturan tol di Plaza Tol Gombak, pada Khamis. - Gambar/ Astro AWANI/ Nur 'Illiyyin Farhana

KUALA LUMPUR: Kadar pembayaran semula Surat Tuntutan (LOD) bagi kesalahan tailgating dan pelanggaran peraturan tol di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) serta Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) direkodkan kurang daripada satu peratus. 

Pengurus Besar AFA PRIME Berhad, Ismaliza Ibrahim, berkata situasi itu membimbangkan kerana masih ramai pengguna lebuh raya dilihat tidak mengambil serius tindakan yang dikenakan walaupun surat tuntutan sudah dikeluarkan. 

Beliau berkata, selain itu, pihaknya yang merupakan syarikat konsesi juga mengesan terdapat pengguna yang melakukan kesalahan sama secara berulang sehingga lebih 30 kali. 

"Bagi pihak AFA PRIME, kita sudah lakukan yang terbaik termasuk mendapatkan maklumat pesalah dan bekerjasama dengan JPJ untuk memperoleh alamat sebelum mengeluarkan LOD. 

"Bagaimanapun, tahap kesedaran masih rendah kerana mereka melihat tiada impak walaupun LOD dikeluarkan selain kurang tindakan susulan terhadap pesalah," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Operasi Khas Penguatkuasaan berkaitan kesalahan tailgating dan pelanggaran peraturan tol yang dilaksanakan bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) di Plaza Tol Gombak, di sini pada Khamis. 

Mengulas lanjut, Ismaliza berkata aspek penguatkuasaan undang-undang perlu diperkukuhkan supaya pengguna lebih gerun untuk mengulangi kesalahan sama. 

Katanya, penggubalan undang-undang yang lebih ketat mungkin perlu dipertimbangkan bagi memastikan tindakan lebih tegas dapat diambil terhadap pesalah. 

Menurutnya, ketika ini, pesalah boleh dikenakan penalti antara RM2,000 hingga RM5,000 jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Jalan Persekutuan (Pengurusan Persendirian) (Pindaan) 1994. 

Selain itu, ujarnya, sebanyak 95 peratus pelanggaran yang direkodkan membabitkan kenderaan kelas satu iaitu kereta persendirian.

Tambahnya, kesalahan berkenaan tidak hanya berlaku ketika musim perayaan, sebaliknya lebih banyak direkodkan pada hari biasa membabitkan pengguna kenderaan harian.

Katanya, sepanjang tempoh 2023 hingga 2025, sebanyak 2,122 LOD membabitkan tuntutan lebih RM21,181 sudah dikeluarkan kepada pengguna yang melakukan pelanggaran tol.

"Bagi tahun 2023 sebanyak 571 LOD dikeluarkan, 853 LOD (2024) dan 698 LOD tahun lalu," jelasnya.

 

[BERITA LANJUT MENYUSUL]

Must Watch Video

Advertisement