KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar hari ini menziarahi bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Ismail Yusop yang menerima rawatan di Hospital Shah Alam, Selangor (HSAS).
Beliau berkata Ismail yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Abah ialah seorang sahabat yang banyak berjasa dan sentiasa dekat dengan ramai pihak.
“Saya mendoakan agar Tok Abah terus diberikan kekuatan, ketabahan dan semangat yang tinggi dalam melalui proses rawatan ini.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kesembuhan segera, mempermudah segala urusan serta mengangkat segala kesakitan yang sedang ditanggung,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.
Beliau berharap Ismail akan kembali sihat berkat doa daripada keluarga, sahabat handai dan mereka yang mengenalinya.
Shamsul Azri turut merakamkan penghargaan kepada pengarah hospital Dr Ruzita Othman dan seluruh petugas HSAS atas perhatian, penjagaan dan layanan kepada Ismail serta pesakit lain.
-- BERNAMA