Skip to main content

Malaysia

KPWKM giat kesan pusat jagaan tidak berdaftar

KUALA LUMPUR, 19 Mei -- Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media selepas Program Toleransi Sifar Keganasan: Say No To Sexual Harassment di Hotel Premiera, Kuala Lumpur hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Nancy (foto) berkata langkah itu susulan beberapa laporan kes membabitkan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat jagaan yang menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan. -Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) giat melaksanakan pemeriksaan mengejut di pusat jagaan kanak-kanak di seluruh negara bagi memastikan pematuhan serta mengesan premis tidak berdaftar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu susulan beberapa laporan kes membabitkan kematian bayi dan kanak-kanak di pusat jagaan yang menimbulkan kebimbangan orang ramai terhadap aspek keselamatan.

“Ketika ini mereka (Jabatan Kebajikan Masyarakat) masih melakukan lawatan mengejut. Jika mereka dapati ada pelanggaran, tindakan akan diambil serta-merta termasuk mengarahkan premis ditutup,” katanya kepada media selepas melancarkan program Majlis Penyertaan Malaysia di bawah Konvensyen Hak Kanak-Kanak, di sini, hari ini.

Nancy berkata masih terdapat pusat jagaan tidak berdaftar yang gagal dikesan berikutan kurangnya kesedaran awam dan laporan daripada komuniti.

Beliau berkata orang awam diharapkan dapat memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat berkaitan pusat jagaan kanak-kanak yang disyaki beroperasi tanpa pendaftaran.

“Inilah yang kami maksudkan, pendekatan seluruh komuniti. Kami perlukan sokongan itu kerana kami juga tidak akan tahu mengenai kewujudan pusat jagaan tidak berdaftar melainkan orang ramai memberi sedikit petunjuk,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement