Skip to main content

Malaysia

KPK terus fokus teknologi, inovasi pacu industri agrikomoditi negara

KOTA BHARU, 10 Mac -- Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menyampaikan ucapan pada Majlis Berbuka Puasa bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Noraini berkata Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna kepada teknologi global tetapi perlu muncul sebagai pencipta, pembangun dan pengeksport teknologi agrikomoditi yang relevan kepada dunia. - Gambar fail/Bernama

SEREMBAN: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan terus menumpukan kepada penggunaan teknologi, data dan inovasi untuk memacu industri pertanian dan agrikomoditi negara yang lebih pintar, mampan dan berdaya tahan, kata Menterinya Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata ini kerana masa depan sektor itu tidak lagi hanya bergantung kepada keluasan tanah atau jumlah tenaga kerja semata-mata, sebaliknya ditentukan oleh keupayaan memanfaatkan teknologi moden dan inovasi secara menyeluruh.

“Dalam konteks global hari ini, keupayaan sesebuah negara untuk menghasilkan makanan dan komoditi pertanian secara cekap, pintar dan mampan bukan lagi sekadar kelebihan ekonomi, ia kini menjadi soal daya tahan nasional dan keselamatan strategik negara.

“Negara yang menguasai teknologi pertanian dan sistem makanan masa depan akan menjadi negara yang memimpin ekonomi dunia pada dekad akan datang,” katanya dalam teks ucapan yang dibacakan timbalannya Datuk Seri Huang Tiong Sii pada Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2026 Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di sini hari ini.

Konvensyen dua hari itu bertemakan 'Revolutionising Field Operations: Automation, Digitalisation, AI and Future Ready Technologies'.

Turut hadir, Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir.

Mengulas mengenai konvensyen itu, Noraini berkata ia tepat pada masanya memandangkan dunia berdepan dengan cabaran geopolitik, perubahan iklim, ketidaktentuan rantaian bekalan global, kekurangan tenaga kerja, peningkatan kos pengeluaran dan tuntutan terhadap kemampanan. 

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia tidak boleh sekadar menjadi pengguna kepada teknologi global tetapi perlu muncul sebagai pencipta, pembangun dan pengeksport teknologi agrikomoditi yang relevan kepada dunia.

 “Dalam industri sawit sendiri, kita telah menyaksikan pelbagai inovasi yang berjaya dihasilkan penyelidik tempatan termasuk pembangunan teknologi mekanisasi seperti mesin penuaian bermotor Cantas, penggunaan dron untuk pemantauan ladang dan sistem pengurusan ladang digital,” katanya.

Noraini berkata KPK komited memastikan transformasi dalam sektor itu termasuk dengan memperkukuh dasar dan insentif untuk mempercepat penggunaan teknologi dan automasi selain memperkasa penyelidikan dan pembangunan melalui institusi penyelidikan seperti MPOB.

"Selain itu, usaha membangunkan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran digital dan teknologi tinggi serta menggalakkan pembangunan mesin dan jentera keluaran tempatan amat penting untuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi import,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video