KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalin kerjasama strategik dengan Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 bagi memperkasakan promosi produk tempatan.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata inisiatif yang julung-julung kali dilaksanakan itu susulan pelancaran gerakan “Jom Beli Produk Malaysia (JOM MALAYSIA)” pada 27 Jun lepas, yang menjadi strategi transformasi kepada evolusi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia sejak 1984.
Beliau berkata kolaborasi antara KPDN dan KLFW 2026 adalah sebahagian daripada strategi serta pendekatan baharu di bawah JOM MALAYSIA, yang bukan sekadar penjenamaan semula tetapi mencerminkan anjakan menyeluruh berteraskan empat tonggak utama, iaitu gerakan nasional, pendekatan menyeluruh kerajaan, keterangkuman produk tempatan dan memperluas pasaran.
“Kerjasama ini menjadi platform strategik dalam usaha memartabatkan produk dan jenama tempatan menerusi penganjuran temasya fesyen bertaraf antarabangsa, yang menjadi tumpuan pemain industri, peminat fesyen, pelancong dan media dari dalam dan luar negara.
“KPDN mendapati kerjasama strategik dengan KLFW 2026 ialah inisiatif yang menepati empat teras yang digariskan,” katanya dalam kenyataan selepas hadir pada Majlis Media Rasmi KLFW 2026 di sini, hari ini.
Armizan berkata KLFW bukan sahaja menjadi pentas memperagakan kreativiti dan inovasi industri fesyen negara, malah berperanan sebagai platform strategik dalam memperluas peluang perniagaan, menarik pelaburan serta membuka akses pasaran baharu kepada produk dan jenama Malaysia.
“Sebagai satu pengisian utama KLFW 2026, satu segmen khas akan diperkenalkan, iaitu “Fashion Forward Batik Malaysia” yang menampilkan 30 rekaan eksklusif daripada 10 pereka fesyen tempatan.
“Koleksi ini menggunakan tekstil batik asli tempatan dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang diterjemahkan dalam rekaan kontemporari, sekali gus membuktikan bahawa warisan tempatan mampu memenuhi cita rasa pasaran premium dan antarabangsa,” katanya.
KLFW 2026 dijadual berlangsung dari 3 hingga 9 Ogos ini di Esplanade, KLCC dengan pelbagai pengisian sebagai citra perkembangan industri fesyen tempatan, yang merangkumi pertunjukan fesyen, pameran jenama, sesi padanan perniagaan, perkongsian industri serta aktiviti libat urus bersama pemain industri fesyen dan gaya hidup.
Edisi kali ini melibatkan penyertaan kira-kira 60 jenama tempatan, 35 pereka fesyen serta lebih 20 rakan strategik industri yang bersama-sama memperkukuh ekosistem fesyen Malaysia.
-- BERNAMA