KOTA KINABALU: Pakar psikiatri forensik berpendapat bahawa konflik antara anak dan ibu bapa bukanlah faktor langsung yang membawa kepada tindakan menamatkan riwayat sendiri seperti dirumuskan dalam laporan autopsi psikologi kematian Zara Qairina Mahathir.
Saksi ke-67 inkues, Dr Chua Sze Hung, 43, dari Hospital Mesra Bukit Padang berkata, konflik yang dirasai antara anak dan ibu bapa hanya merupakan salah satu daripada faktor pendorong atau faktor tidak langsung.
"Dalam konteks ini, saya ingin nyatakan bahawa konflik antara anak dan ibu bapa yang dirasai itu bukanlah faktor langsung.
"Ia adalah salah satu daripada banyak faktor pendorong (pre-disposing factors) atau dikenali sebagai faktor tidak langsung.
"Pada pendapat saya, faktor langsung di sini adalah maklumat yang mencetuskan tekanan (stressful information) dan rasa terasing atau pengasingan (isolation) yang dirasai oleh mangsa pada saat-saat akhir tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pegawai pengendali merangkap Timbalan Pendakwa Raya, Dacia Jane Romanus berhubung kesimpulan laporan autopsi psikologi mangsa di Mahkamah Koroner, di sini.
Ditanya mengenai catatan peribadi Zara Qairina, Dr Sze Hung menekankan bahawa diari tersebut merupakan sumber maklumat yang paling tepat untuk memahami keadaan mental sebenar seorang remaja.
"Diari tersebut adalah ekspresi yang jujur dan tulen daripada seorang remaja atau si mati. Ia bebas daripada tekanan psikologi, sosial, interpersonal, dan penghakiman. Ia adalah 'rangka psikologi' (psychological skeleton) yang mentah, peribadi, dan tanpa ditapis. Ia merupakan arkib kehidupan objektif si mati.
"Ia adalah bukti dokumentari dan artifak peribadi yang sangat bernilai. Adalah sangat biasa bagi remaja yang mengalami gangguan psikologi untuk menyembunyikan (mask) dan memendam perasaan sebenar mereka, atau tekanan perasaan yang sebenar. Hal ini sememangnya sukar dikesan oleh ibu bapa dan orang di sekeliling mereka," katanya.
Dr Sze Hung menjelaskan bahawa remaja sering melakukan 'masking' atau menyembunyikan kesedihan kerana mahu kelihatan sempurna dan takut dianggap lemah oleh masyarakat.
Malah katanya, perbuatan melukai diri sendiri atau 'barcode' adalah cara salah (maladaptif) yang digunakan mereka untuk melepaskan tekanan emosi yang terlampau berat.
Dalam keterangannya juga turut menghuraikan mengapa mangsa tetap menunjukkan sikap penyayang dan patuh kepada ibunya walaupun diarinya mencatatkan emosi negatif.
Jelasnya, seorang remaja akan cenderung menggunakan mekanis pertahanan diri untuk mengelakkan konflik demi kelangsungan hidup.
"Dalam situasi yang tidak menguntungkan, seorang remaja belajar dengan cepat bahawa luahan emosi negatif seperti kemarahan dan kebencian akan memburukkan lagi konflik dan ketidaksetujuan.
"Untuk bertahan, seorang remaja mungkin memendam emosi dalaman dan tekanan psikologi mereka, dan menonjolkan fasad (facade) luaran yang menyenangkan dan patuh untuk mengurangkan konflik dan ketidaksetujuan.
"Dalam keadaan sedemikian, mungkin terdapat percanggahan antara apa yang ditonjolkan dengan apa yang ditulis oleh diri sebenar beliau (true self) di dalam diari.
"Walaupun bukan luar biasa bagi seseorang untuk menonjolkan 'diri palsu' (false self) dalam interaksi lisan, adalah lebih berkemungkinan bagi seseorang untuk menonjolkan 'diri sebenar' dalam ruang selamatnya sendiri, iaitu dalam bentuk diari," katanya.
Sementara itu, ditanya mengapa beliau tidak memasukkan tiga ahli keluaarga Zara Qairina sebagai responden untuk ditemubual dalam laporan autopsi psikologi beliau, Dr Sze Hung menegaskan ia berbeza dengan orang dewasa.
"Apabila melibatkan bedah siasat psikologi seorang remaja (adolescent), pendekatannya sangat berbeza berbanding orang dewasa. Bagi orang dewasa, fokus kami adalah ahli keluarga, pasangan, rakan sekerja, dan rakan-rakan.
"Namun bagi remaja, bahagian utama informan perlulah terdiri daripada rakan sebaya. Saya faham bahawa tiga ahli keluarga yang disebut itu bukan ahli keluarga yang tinggal serumah.
"Pertemuan mereka juga adalah sekali-sekala dan bersifat keratan rentas bukan interaksi harian yang mendalam," jelasnya.
Baginya, rakan sebaya mempunyai interaksi harian yang lebih mendalam dengan mangsa berbanding saudara-mara yang hanya bertemu sekali-sekala. - Sinar Harian