PUTRAJAYA: Institusi pendidikan dan universiti perlu memainkan peranan lebih besar untuk membantu masyarakat memahami konflik di rantau Asia Barat secara matang dan berteraskan ilmu.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata dalam suasana dunia yang tidak menentu akibat peperangan dan pertembungan geopolitik, badan intelektual perlu menjadi medan untuk membina pemikiran kritis dan kefahaman seimbang.
"Kita mesti memupuk keberanian untuk berfikir secara mendalam, meraikan pelbagai perspektif dan memahami sesuatu kerumitan dengan kebijaksanaan, bukannya prejudis," kata Zambry dalam ucapan pembukaan Syarahan Umum oleh ahli akademik, Profesor Seyyed Vali Reza Nasr, di sini, pada Selasa.
Tambah Zambry, penulisan ilmiah oleh Vali Nasr turut memperlihatkan Iran sebagai bukan sebuah negara revolusioner semata-mata, tetapi negara bertamadun dengan sejarah panjang yang mahu mempertahankan maruah dan kedaulatannya.
Menurutnya, pandangan sarjana seperti Vali Nasr penting kerana ia membantu masyarakat memahami konflik melibatkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat secara lebih bernuansa, dan tidak hanya berdasarkan sentimen.