Skip to main content

Malaysia

Mekanisme subsidi bersasar perlu jelas, elak rakyat keliru status T15 dan T20 – CAKE

SEREMBAN, 27 Nov -- Penunggang motosikal mengisi minyak petrol RON95 ke dalam tangki motosikalnya di sebuah stesen minyak hari ini.  Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar yang sedang dipertimbangkan dijangka tidak akan meningkatkan kos kepada industri sedia ada.  Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerajaan masih mengekalkan harga siling petrol RON95 pada kadar RM2.05 seliter dan diesel pada kadar RM2.15 seliter sehingga kini, walaupun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua pr
Pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 perlu disertai mekanisme yang lebih jelas dan telus supaya rakyat memahami kaedah pengelasan kumpulan T15 dan T20. - Foto hiasan/BERNAMA

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan subsidi bersasar bagi RON95 perlu disertai mekanisme yang lebih jelas dan telus supaya rakyat memahami kaedah pengelasan kumpulan T15 dan T20 serta tidak merasai beban atau terpinggir.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusof berkata, kerajaan perlu memperhalusi kaedah penentuan kelayakan subsidi memandangkan corak perbelanjaan rakyat berbeza mengikut lokasi dan gaya hidup.

Menurut beliau, pelaksanaan BUDI MADANI ketika ini dilihat berjalan lancar walaupun pada peringkat awal menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Sekarang ini subsidi BUDI95 diberikan secara pukal. Semua yang ada kad pengenalan dan lesen memandu boleh mendapat subsidi ini.

“Namun apabila diumumkan T20 dan T15 akan dirasionalisasikan, kita nampak mekanisme pemberian subsidi akan menjadi lebih mendalam termasuk melibatkan semakan pendapatan dan gaya hidup,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam  temubual mengenai "Cadangan mengecualikan subsidi golongan kaya AGENDA AWANI pada Selasa. 

Dalam pada itu katanya, kerajaan perlu memberi penjelasan lebih terperinci kepada rakyat mengenai kaedah menentukan kategori T15 dan T20 bagi mengelakkan kekeliruan.

“Kita kuatir nanti ada yang sebenarnya bukan golongan T20 tetapi dikategorikan dalam kumpulan itu dan tidak layak menerima subsidi.

“Jadi mekanisme kerajaan untuk menentukan siapa T20 dan T15 perlu dimaklumkan dengan jelas supaya rakyat lebih faham,” katanya lagi.

Mohd Yusrizal berkata, pendekatan menggunakan kad pengenalan dalam pelaksanaan subsidi RON95 ketika ini berjaya mengurangkan ketirisan selain memudahkan pengguna tanpa perlu melalui proses permohonan yang rumit.

Katanya, walaupun pada awal pelaksanaan rakyat bimbang akan berlaku kesesakan di stesen minyak, keadaan kini semakin stabil dan pengguna mula menyesuaikan diri dengan sistem sedia ada.

Dalam masa sama, beliau berpandangan pelaksanaan subsidi bersasar perlu dilakukan secara berperingkat atau “soft landing” bagi mengelakkan tekanan mendadak terhadap kumpulan tertentu.

“Kalau tarik subsidi secara mendadak, golongan T20 dan T15 mungkin akan rasa tertekan kerana mereka juga pembayar cukai.

“Mungkin kerajaan boleh mulakan dengan pendekatan kuantiti seperti mengurangkan had penggunaan subsidi secara berperingkat daripada 200 liter kepada jumlah lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu boleh membantu kerajaan melaksanakan rasionalisasi subsidi secara lebih terkawal tanpa menimbulkan kejutan besar kepada pengguna.

Must Watch Video