Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Pelajar antarabangsa tidak khianati hak anak tempatan, jadikan pendidikan tinggi kuasa lunak diplomasi

Pelajar antarabangsa menuntut ilmu melangkaui sempadan, mereka bukan sahaja membawa kelayakan, tetapi persahabatan, kefahaman budaya dan hubungan kemanusiaan. - Gambar hiasan Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Pelajar antarabangsa menuntut ilmu melangkaui sempadan, mereka bukan sahaja membawa kelayakan, tetapi persahabatan, kefahaman budaya dan hubungan kemanusiaan. - Gambar hiasan

MUTAKHIR ini, isu pengambilan pelajar antarabangsa ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) khususnya universiti awam (UA) menjadi polemik hangat apabila ia dijadikan modal politik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Dakwaan seorang ahli politik bahawa kemasukan pelajar antarabangsa mengganggu-gugat hak pelajar tempatan menyambung pengajian di IPT tidak masuk akal kerana ia langsung tidak menggambarkan situasi sebenar malah mengelirukan fakta.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) baru-baru ini, daripada keseluruhan 634,706 pelajar di universiti awam, 578,141 orang (91.1%) ialah warganegara Malaysia, manakala hanya 56,565 orang (8.9%) ialah pelajar antarabangsa.

Daripada jumlah pelajar antarabangsa itu pula, 38,672 orang (68.4%) merupakan pelajar pascasiswazah, manakala hanya 17,893 orang (31.6%) berada di peringkat prasiswazah.

Jumlah pelajar antarabangsa yang hanya mewakili 8.9% daripada jumlah keseluruhan pelajar di UA secara jelas membuktikan bahawa pengambilan pelajar tempatan masih tetap diutamakan tanpa sebarang kompromi.

Jika digabungkan pelajar antarabangsa di UA dan universiti swasta (US) sekalipun, jumlahnya masih kecil. Mengikut sistem MyMoHES (Sistem Pengumpulan Data KPT), menunjukkan jumlah keseluruhan enrolmen di UA dan US adalah seramai 1,264,541 pelajar.

Daripada jumlah tersebut, hanya 12.6 peratus atau 159,138 merupakan pelajar antarabangsa manakala selebihnya iaitu 1,105,403 orang atau 87.4 peratus merupakan penuntut Malaysia.

Berdasarkan angka-angka ini, tuduhan mengatakan pelajar antarabangsa merampas hak pelajar tempatan suatu kenyataan yang sangat dangkal dan berniat jahat untuk memberikan keraguan kepada masyarakat terhadap sistem pendidikan tinggi negara.

KPT melalui UA terutamanya sentiasa mencari jalan untuk menambah akses pelajar tempatan. 

Dalam hal ini, jumlah tempat baharu sentiasa diwujudkan khususnya dalam program berimpak tinggi di universiti penyelidikan.

Bagi pengambilan 2026 misalnya, 1,500 tempat baharu disediakan di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Bukan sahaja akses, soal ekuiti juga diberikan perhatian yang serius. 

Pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan B40 diberikan bantuan untuk mendaftar pengajian dengan lebih mudah agar tiada yang tercicir kerana masalah kewangan.

Sebelum tulisan ini menjelaskan isu kelebihan kemasukan pelajar antarabangsa di Malaysia, penulis ingin mengimbau kembali peranan universiti awam pada awal penubuhan terutama di awal kemerdekaan negara.

Pada awal kemerdekaan negara, penubuhan universiti awam sememangnya bertujuan menjana graduan tempatan yang dapat menjadi modal insan berpengetahuan dan berkemahiran tinggi untuk keperluan pembangunan negara.

Merekalah yang menjadi tonggak dalam perkhidmatan awam dan menjadi ahli profesional dalam pelbagai sektor. 

Pendidikan tinggi menjadi faktor pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara yang pesat berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Perkembangan sektor pendidikan tinggi dan kualiti IPT yang dipacu oleh dampak globalisasi telah menyaksikan Malaysia melaksanakan dasar pengantarabangsaan dengan menerima kemasukan pelajar antarabangsa.

Tambahan pula, hasrat Malaysia untuk menjadi hab pendidikan tinggi dunia mesti mampu menarik minat pelajar antarbangsa belajar di negara.

Kemasukan pelajar antarabangsa sebenarnya memberi beberapa kelebihan. Pada peringkat global, pengambilan pelajar antarabangsa membantu Malaysia memperkukuh hubungan antarabangsa dan diplomasi. 

Pendek kata, ia boleh mengangkat pendidikan tinggi negara menjadi kuasa lunak kepada diplomasi Malaysia dalam pentas global.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir, apabila seseorang itu menuntut ilmu melangkaui sempadan, mereka bukan sahaja membawa kelayakan, tetapi persahabatan, kefahaman budaya dan hubungan kemanusiaan.

Manfaat kehadiran pelajar antarabangsa turut disokong oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman. 

Beliau mengakui kehadiran pelajar antarabangsa tidak sekadar memberi nilai tambah yang besar kepada warga kampus, malah juga mencetus persekitaran pembelajaran yang dinamik dan reflektif dengan keperluan semasa bagi memperluaskan kanvas pemikiran pelajar tempatan tanpa perlu ke luar negara.

Sehubungan dengan itu, dasar pengantarabangsaan sememangnya membuka peluang terbaik kepada pelajar tempatan untuk berinteraksi dan berkomunikasi serta mempelajari silang budaya sekali gus mempersiap-siaga mereka untuk bersaing di peringkat global.

Kemasukan pelajar antarabangsa turut dikaitkan dengan usaha universiti menjana pendapatan. Semua pelajar antarabangsa dikenakan yuran penuh tanpa sebarang subsidi oleh pihak kerajaan.

Hasil daripada yuran pelajar antarabangsa ini sebenarnya telah digunakan oleh UA bagi menambahbaik dan meningkatkan lagi kemudahan universiti masing-masing untuk dinikmati secara bersama oleh semua pelajar termasuk pelajar tempatan.

Dalam konteks di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), usaha menambah pengambilan pelajar antarabangsa sentiasa dijayakan. Kedudukan dan pencapaian UMT yang meningkat baik dalam penarafan ranking dunia menambat hati pelajar antarabangsa memilih universiti ini.

Selain itu, keunikan UMT yang berada di persisir pantai dengan fokus menjadi universiti peneraju ekonomi biru selain aktiviti mahasiswa yang memupuk kelestarian alam memberi kelebihan menggamit pelajar antarabangsa belajar di sini.

Pada tahun ini, UMT mengagihkan dana biasiswa berjumlah RM650,343 melibatkan 60 pelajar pasca siswazah menerusi inisiatif Biasiswa Naib Canselor UMT (UMTVC) dan Diskaun Alumni UMT sebagai usaha memperkukuh kecemerlangan akademik serta meningkatkan daya saing universiti di peringkat global.

Secara tuntasnya, kemasukan pelajar antarabangsa sama sekali tidak mengkhianati peluang pelajar tempatan menyambung pengajian di UA. Hak berpendidikan pelajar tempatan sentiasa terjamin malah diperjuangkan melalui soal akses dan ekuiti dengan penuh rasa amanah dan tanggungjawab.

Kehadiran pelajar antarabangsa semasa yang masih terkawal tidak wajar dipolemikkan sehingga menimbulkan keresahan orang awam. Marilah kita hentikan polemik pelajar antarabangsa ini sebaliknya membawa sudut pandang yang positif bagaimana kita boleh memperkukuhkan lagi kualiti dan masa depan pendidikan tinggi negara.


  • Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
  • Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement