Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Memahami cara generasi Z belajar: Sudahkah cara kita mengajar berubah?

71735533201_TBGENZGOOGLE.jpg
Memahami Generasi Z bukan bererti mengikut semua kehendak mereka. Sebaliknya, ia menuntut kita memahami cara mereka belajar supaya kita dapat membimbing mereka menjadi individu yang mampu berfikir. - Gambar hiasan

"DIDIKLAH anak-anakmu mengikut zaman mereka kerana mereka diciptakan untuk suatu zaman yang bukan zamanmu."

Ungkapan yang sering dikaitkan dengan Saidina Ali RA ini mungkin tidak pernah sehebat sekarang relevannya.

Dunia berubah dengan pantas. Teknologi berkembang setiap hari. Kecerdasan buatan (AI) semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah, adakah cara kita mengajar turut berubah?

Hari ini, sebahagian besar pelajar di Institut Pendidikan Guru, universiti dan sekolah terdiri daripada Generasi Z. Mereka lahir dalam dunia digital.

Sejak kecil mereka sudah biasa mencari maklumat di hujung jari, belajar melalui video, berkomunikasi melalui media sosial dan kini menggunakan AI untuk membantu pembelajaran.

Namun, memahami Generasi Z bukan bermaksud kita sekadar membawa lebih banyak teknologi ke dalam bilik darjah. Inilah antara salah faham yang sering berlaku. 

Ramai menyangka Generasi Z hanya mahu belajar menggunakan telefon pintar, video, atau permainan digital. Hakikatnya, mereka sebenarnya lebih menghargai pembelajaran yang memberi peluang untuk mereka berfikir, berbincang, menyelesaikan masalah dan mengaitkan ilmu dengan kehidupan sebenar.

Mereka mahu menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran, bukan sekadar mendengar syarahan selama dua jam. Ini bukan bermaksud kuliah tradisional sudah tidak relevan. Sebaliknya, kuliah perlu direka semula supaya lebih interaktif dan bermakna.

Image
51695453945_PelajarUniversiti.jpg

Pensyarah bukan lagi sekadar menyampaikan fakta, tetapi membimbing pelajar berfikir secara kritis, menilai maklumat dan membina kefahaman yang lebih mendalam.

Ironinya, walaupun Generasi Z sangat mahir menggunakan teknologi, mereka masih memerlukan sentuhan manusia. Mereka menghargai pensyarah yang mudah didekati, memberikan maklum balas yang membina dan berfungsi sebagai mentor.

Dalam dunia yang dipenuhi maklumat, mereka bukan kekurangan jawapan. Mereka sebenarnya memerlukan seseorang yang dapat membantu membezakan antara maklumat dan ilmu, antara fakta dan pendapat, serta antara penggunaan AI yang bijaksana dengan kebergantungan yang melampau.

Lebih menarik, kajian-kajian terkini juga menunjukkan bahawa Generasi Z tidak semestinya mahu semuanya berbentuk digital. Untuk pembelajaran yang memerlukan pemahaman mendalam, ramai masih memilih membaca bahan bercetak, membuat catatan sendiri dan berbincang secara bersemuka.

Ini membuktikan bahawa teknologi bukanlah pengganti kepada semua kaedah pembelajaran, sebaliknya pelengkap kepada pedagogi yang baik. Di sinilah letaknya cabaran sebenar kepada para pendidik.

Kita sering berbincang tentang bagaimana pelajar perlu menyesuaikan diri dengan perubahan zaman. Tetapi, sejauh mana pendidik sendiri bersedia untuk berubah? Perubahan yang diperlukan bukanlah menguasai semua aplikasi terkini atau menggunakan AI dalam setiap pengajaran.

Yang lebih penting ialah memahami bagaimana pelajar belajar, bagaimana mereka mengekalkan perhatian, bagaimana mereka membina kefahaman dan bagaimana mereka berinteraksi dengan ilmu dalam dunia digital.

Image
51675970342_PelajarKuliah.jpg

Sebagai pendidik guru, persoalan ini menjadi lebih signifikan. Pelajar yang kita latih hari ini bukan sekadar pelajar universiti. Mereka ialah bakal guru yang akan mendidik Generasi Alpha beberapa tahun lagi.

Jika kita masih menggunakan pendekatan yang sama seperti 20 tahun lalu tanpa menilai keberkesanannya terhadap generasi hari ini, besar kemungkinan mereka juga akan mengulangi pendekatan yang sama di sekolah nanti.

Namun, dalam keghairahan menyesuaikan diri dengan Generasi Z, kita juga tidak boleh mengorbankan perkara yang menjadi asas kepada pendidikan.

Keupayaan membaca secara mendalam, menulis dengan tangan, berfikir secara kritis, berhujah menggunakan fakta dan berinteraksi secara bersemuka masih kekal sebagai kemahiran yang tidak boleh diganti oleh teknologi.

Mungkin inilah sebabnya beberapa negara maju mula mengimbangi semula penggunaan teknologi di sekolah.

Mereka tidak menolak digital, tetapi mula menyedari bahawa tidak semua pembelajaran menjadi lebih baik hanya kerana menggunakan skrin.

Malaysia juga perlu mengambil pendekatan yang sama.

Image
41627540836_Study.jpg

Kita tidak memerlukan pendidikan yang terlalu digital atau terlalu tradisional. Kita memerlukan pendidikan yang seimbang, yang menggunakan teknologi apabila benar-benar memberi nilai tambah, dan kembali kepada pendekatan konvensional apabila itulah pilihan yang lebih berkesan.

Akhirnya, memahami Generasi Z bukan bererti mengikut semua kehendak mereka. Sebaliknya, ia menuntut kita memahami cara mereka belajar supaya kita dapat membimbing mereka menjadi individu yang mampu berfikir, membuat pertimbangan yang bijaksana dan menggunakan teknologi secara bertanggungjawab.

Pendidikan yang baik bukanlah apabila guru berjaya menghabiskan sukatan pelajaran, tetapi apabila pelajar benar-benar belajar.
 


Dr Satirah Ahmad ialah Pensyarah Cemerlang Gred Khas C di IPG Kampus Sultan Abdul Halim, aktif mempromosikan pembelajaran mendalam melalui pendekatan berasaskan konsep.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis, dan/atau berdasarkan pemerhatian bidang yang dijalaninya, serta tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

Must Watch Video

Advertisement