RENCANANYA, tulisan ini patut disiarkan lebih awal. Tetapi dengan perhatian yang cukup melimpah, sarat kemarahan serta penuh sentimen negatif, ia dibawa ke kemudian hari dengan harapan ia akan baik-baik sahaja selepas itu.
Namun apabila reda sedikit, timbul pula berita bahawa pelarian yang pernah membesar di Malaysia, berada di negara lain, memburuk-burukkan nama negara yang pernah memberi jasa kepadanya.
Jadi, dalam tempoh masa itu, tiga buku ditekuni, saya baca semula, lebih tepat. Buku itu, Refugees A Very Short Introduction (Oxford University Press, 2021); Survivor My Life As A Rohingya Refugee (2021) ditulis Ziaur Rahman dan The Rohingyas Inside Myanmar's Genocide (2018) oleh Azeem Ibrahim dengan Foreword atau pendahuluan ditulis pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2006, Muhammad Yunus, juga Ketua Penasihat Bangladesh.
Ketiga-tiga buku itu ada persamaan. Ya Rohingya. Dan, ia memandu saya untuk menulis artikel ini, walaupun sedikit terlambat, setidak-tidaknya memberi pencerahan di celah-celah kemarahan yang belum pudar bersabit dengan segala macam cabang kepada isu Rohingya. Saya juga jujur sahaja. Pasti akan ada pujian, cemuhan dan kecaman menyusul selepas perkataan akhir menutup tulisan ini. Saya sedia.
Begini. Tidak dapat tidak, kita mesti bersetuju bahawa radar perhatian di dunia dan Malaysia - lebih lagi - dihalakan kepada Rohingya, sejak dua minggu lalu dan belum habis lagi, sesuai dengan label kepada mereka iaitu makhluk paling malang di alam planet ini.
Ya. Kita juga marah dan berasa tidak selamat dengan kadar jenayah yang dilakukan pelarian,tidak kira ia Rohingya atau pelarian lain yang mendiami bumi Malaysia.
Kita juga tidak senang dengan jumlah pelarian yang tidak putus-putus mendarat,kemudian masuk kampung, membina hidup, menambah nyawa dan bekerja seperti mereka bukan pelarian.
Kita juga tidak suka dengan sekelompok pelarian yang meminta sedekah, pengotor atau yang tidak ambil berat tentang kebersihan. Sehingga pada satu tahap, hati manusia yang bukan pelarian, yang belajar tinggi, yang pentingkan kebersihan ini akan bertanya : " Adakah mereka ini sedar diuntung atau tidak?"
Segarkan ingatan kepada keadaan negara semasa COVID-19 melanda pada 2020. Ketika itu, Rohingya juga dipersalahkan, jadi mangsa kecaman. Bukan sedikit keriuhan di media sosial membincangkan mengenai Rohingya itu, Rohingya ini. Bantuan yang diberi pada awalnya kepada mereka bertukar jadi bantai sahaja, lain-lain tiada.
Sekarang, 2026, ia berputar lagi dan Rohingya, kembal menjadi mangsa untuk dikecam, dibenci. Asal sebab dan punca peristiwa mereka sekali lagi menjadi bahan kecaman di media sosial, kali ini, di Threads, lebih meriah, tidak diketahui.
Yang pasti, algoritma, carian tentang Rohingya sangat tinggi di platform digital dan media arus perdana juga. Sehingga pada satu tahap, berita-berita lain yang menyusuli, sebagai contoh : "Ratusan bayi pelarian lahir di Malaysia sejak tahun tertentu", turut sama mendapat komen yang luar biasa, selain ia juga kembali kaitkan kepada Roingya, seolah-olah mereka sahaja pelarian di negara ini. Tetapi, begitulah jika sudah benci.
Orang ramai (baca netizen) ada yang pakar, tidak kurang yang beremosi, ada yang melihat sepintas lalu tapi mahu terus diangkat jadi pakar, cuba menyampaikan pandangan di macam-macam landasan media. Itu sekali gus menjadikan perhatian kepada isu Rohingya yang dahulunya tenggelam timbul, jadi rencam dan bersemarak.
Kepelbagaian pendapat itu bukan tidak boleh diterima,tetapi wajar ditapis secara lebih bijak. Itu sahaja.
Sebagai pengkaji etnik Rohingya, saya melihat isu ini soal yang sudah begitu lama dibangkitkan dan masih tiada penyelesaian terbaik kerana perang terus berlaku, menjadikan manusia terpaksa menukar status sebagai pelarian. Malah, saya senada dengan sesetengah pihak yang melontarkan pandangan, bahawa ia jadi modal politik, ada asasnya juga.
Tetapi, tulisan ini bukan untuk menegakkan ia modal politik atau cubaan menukar rasa benci kepada simpati kepada Rohingya. Ia hanya mahu menjawab beberapa persoalan yang timbul daripada pandangan sesetengah pihak berhubung cara penyelesaiannya.
Satu, persoalan yang membawa jawapan bahawa jika tutup sempadan, masalah Rohingya selesai. Untuk ini, saya merujuk kepada apa yang berlaku di Eropah. Kaitannya pula, peta dunia dicatat dengan titik perang. Di Eropah, ada perang Rusia-Ukraine. Di Asia Barat, ada sengketa Israel-Palestin, juga Iran. Lebih awal, jangan dilupa Perang Syria. Di Afrika, perang di Sudan, masih berlarutan. Di Asia Selatan pula, masih ada bom sana-sini melibatkan India-Pakistan. Akibatnya, manusia jadi pelarian, keluar untuk terus hidup. Di sini, apabila pelarian terlalu ramai, cabarannya ialah manusia sukar untuk mengurus manusia.
Apa kaitannya dengan Rohingya? Sempadan boleh tutup atau tidak? Nah, jawapannya berbalik kepada penerimaan pelarian, manusia mengurus manusia.
Dekad ini menyaksikan begitu banyak perang, berjuta-juta orang perlu lari ke sebuah negara lain untuk teruskan hidup. Negara ketiga yang mereka igin berlindung sementara sebagai pelarian tentunya negara kaya dan ada kompromi agama. Tetapi, dengan perkembangan semasa yang berlaku, dasar terhadap pelarian,pendatang atau migran ini di peringkat global alami titik perubahan.
Negara ketiga enggan lagi menerima pelarian beragama Islam atas sebab-sebab perkembangan semasa yang berlaku. Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) juga akur menghentikan sementara penempatan ke negara ketiga atas sebab dasar dan perkembangan semasa.
Justeru, keadaan ini memberi beban kepada negara transit, seperti Malaysia. Perang makin banyak, manusia terus lari, dasar pelarian yang longgar, keselamatan sempadan yang boleh dipersoal, penempatan ke negara ketiga dihentikan.
Kombinasi ini menyebabkan masalah pelarian semakin kompleks untuk diatasi. Benar, Malaysia bukan negara ketiga dan bukan juga penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 atau Protokol 1967. Oleh itu, undang-undang domestik Malaysia tidak mengiktiraf status "pelarian" secara rasmi dan mengklasifikasikan mereka sebagai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Jika sempadan tutup,apakah itu akan terpakai kepada semua "pelarian" atau Rohingya sahaja? Jangan dilupakan,Malaysia juga ada pelarian bukan Rohingya - pelarian Myanmar, Indonesia, Iran, Palestin, Afghanistan dan lain-lain.
"Untuk kurangkan kedatangan Rohingya di Malaysia, saya mengharapkan sekatan lebih ketat dibuat di perairan negara bukannya tutup sempadan. Apa akan jadi kepada imej Malaysia yang kita sandang, atas dasar kemanusiaan dan tidak pilih kasih, kita jadi negara transit untuk pelarian. Tetapi,kerana isu Rohingya, kita tutup sempadan dan mengharamkan semua pelarian duduk sementara di sini? Tentunya, tidak molek untuk Malaysia, bukan?" kata Eric, seorang aktivis yang juga seorang peguam apabila ditanya mengenai perkembangan isu Rohingya. Tetapi, jika tetap bencikan Rohingya, mahu tawar idea apa lagi?
Kepada jawapan adakah Malaysia boleh bertindak sendiri jika UNHCR enggan menempatkan Rohingya di negara ketiga? Saya katakan, boleh jika mahu. Jawapan mudah, Malaysia boleh berunding dengan negara kaya yang bukan negara ketiga (tidak tertakluk kepada UNHCR) untuk menerima Rohingya. Arab Saudi, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) misalnya memerlukan tenaga pekerja untuk sektor kerja bawahan. Sebagai contoh, mereka boleh bekerja sebagai tukang bersih.
Sebahagian besar Rohingya baik-baik sahaja di Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Setiap waktu dan ketika, dengan pantas mereka membersihkan perkarangan masjid sehingga kita semua, tetamu Allah, yang ada juga tersimpan perasaan benci kepada Rohingya, berasa selesa untuk bersujud di lantai bawah dan meminta diangkat ke atas. Namun, sehingga perundingan, pelaksanaan idea itu semua berlaku, ia memerlukan masa dan kebijaksanaan.
Perdana Menteri Bangladesh, Tareq Rahman yang berkunjung ke Malaysia pada 22 Jun 2026, juga ada perbincangan mengenai perkara ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Kita tunggu sahaja dan berdoa ada jalan penyelesaian yang bijaksana, " kata seorang pakar isu pelarian dan Asia Selatan mengulas mengenai isu hangat ini sebelum menambah, beliau juga jadi sasaran kebencian netizen apabila bersuara mengenai Rohingya.
Tetapi, tidak adakah satu jalan penyelesaian yang boleh dibuat untuk masalah Rohingya ini, kalau tutup sempadan bukan syor bijaksana, bertidak sendiri, tanpa UNHCR perlukan masa?
Akar masalah. Tangani akar masalah. Pada satu lapis, perang itu harus dihentikan. Pembersihan etnik tidak boleh dibenarkan. Dengan ini, di lapis lain, manusia tidak lagi mahu lari, kerana terpaksa menyelamat dan diselamatkan.
Tetapi kerana dunia tidak pernah sunyi daripada perang, konflik dan perebutan kuasa, ia sesuatu yang negatif pada laras bahasa tetapi menyuntik elemen kemanusiaan pada lapis yang lain.
Apa yang dilakukan di dunia hari ini, peraturan, pembentukan negara, pembahagian sempadan negara dan perairan, UNHCR, semuanya dibuat untuk kebaikan. Cabarannya adalah menguruskan manusia. Kita boleh sahaja halau pelarian, tutup sempadan tetapi, kompas moralnya mungkin sedikit tersasar.
Hitam putih kehidupan sememangnya begini.
Falsafahnya, jika tidak gemar hitam, boleh pilih putih. Jika tidak gemar kedua-duanya, atas alasan, terlalu pultih dan terlalu hitam, tidak salah pilih yang di tengah-tengah, warna kelabu, misalnya.
Manusia itu seperti buku. Mereka boleh menghakimi melalui kulitnya. Mereka juga boleh mengagumi disebabkan isinya.
Cuma, jika sudah benci, mahu kata atau tawar apa lagi?
**Azlinariah Abdullah menulis tesis PhD bertajuk "The Myanmar Rohingyas : Challenges Faced by the "Refugee" Community in Malaysia 2014-2016 dan menulis buku Pengembara Tanpa Pasport (2020). Beliau ialah Editor Astro AWANI dan penerbit AWANI Pagi.
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.