Skip to main content

Malaysia

[KOLUMNIS] Hipokrasi barat dalam isu pembatalan kontrak peluru berpandu NSM Norway-Malaysia

LUMUT, 15 Jun -- Kapal pertama (1 Maharaja Lela) daripada lima unit kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut hari ini._BERNAMA
Namun selepas bertahun-tahun komitmen dipenuhi, Norway secara unilateral membatalkan lesen eksport tersebut atas alasan perubahan dasar keselamatan dan kawalan teknologi sensitif. - Gambar hiasan/BERNAMA

KEPUTUSAN Norway membatalkan eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia bukan lagi sekadar isu kontrak pertahanan. Ia kini menjadi simbol kepada krisis kepercayaan yang semakin membesar terhadap negara-negara Barat dalam hubungan antarabangsa.

Apa yang berlaku kepada Malaysia memperlihatkan bagaimana prinsip yang sering dilaungkan Barat seperti “rules-based international order”, integriti kontrak dan perdagangan bebas sebenarnya bersifat selektif dan bergantung kepada kepentingan geopolitik mereka sendiri.

Malaysia menandatangani kontrak pembelian NSM dengan syarikat pertahanan Norway, Kongsberg Defence & Aerospace, sejak tahun 2018. Sepanjang tempoh itu, Malaysia memenuhi tanggungjawabnya secara profesional dan teratur. Menteri Pertahanan Malaysia mengesahkan bahawa hampir 95 peratus pembayaran telah pun dibuat.

Namun selepas bertahun-tahun komitmen dipenuhi, Norway secara unilateral membatalkan lesen eksport tersebut atas alasan perubahan dasar keselamatan dan kawalan teknologi sensitif.

Lebih menarik perhatian, beberapa laporan media antarabangsa dan pemerhati industri pertahanan mula mengaitkan tekanan strategik Amerika Syarikat sebagai faktor penting di sebalik keputusan Oslo itu. Ini kerana sistem NSM turut melibatkan beberapa komponen teknologi Amerika yang tertakluk kepada kawalan eksport Washington.

Jika dakwaan ini benar, ia membawa makna yang jauh lebih besar daripada sekadar pertikaian dagang. Ia menunjukkan bahawa dalam sistem pertahanan Barat, keputusan strategik negara-negara kecil akhirnya tetap tertakluk kepada kepentingan geopolitik Amerika Syarikat dan blok NATO.

Di sinilah muncul persoalan yang sangat serius kepada dunia membangun iaitu sejauh mana negara-negara Barat benar-benar boleh dipercayai sebagai rakan strategik?

Malaysia bukan negara musuh Barat. Malaysia bukan negara yang dikenakan sekatan antarabangsa. Malaysia juga tidak terlibat dalam peperangan yang mengancam keselamatan Eropah. Namun Malaysia tetap menerima kesan daripada perubahan keutamaan strategik Barat. Dalam erti kata lain, kontrak yang telah dipersetujui dan hampir diselesaikan boleh diketepikan apabila keadaan geopolitik berubah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan tepat menyatakan bahawa kontrak antarabangsa bukan sesuatu yang boleh dibatalkan sesuka hati. Kenyataan itu membawa mesej yang sangat mendalam bahawa kepercayaan dalam hubungan antarabangsa sedang mengalami hakisan yang serius.

Hakikatnya, Barat sering mengajar dunia tentang kepentingan menghormati kontrak, ketelusan dan undang-undang antarabangsa. Namun apabila kepentingan strategik mereka berubah, prinsip-prinsip tersebut boleh diubah mengikut keperluan politik semasa. Inilah bentuk hipokrasi yang semakin sukar disembunyikan dalam politik global hari ini.

Apa yang berlaku kepada Malaysia juga perlu dilihat dalam konteks lebih besar. Perang Ukraine dan ketegangan geopolitik global telah mendorong Eropah meningkatkan keutamaan keselamatan dalaman mereka. Teknologi pertahanan sensitif kini semakin dihadkan kepada negara-negara sekutu NATO dan rakan strategik rapat Barat. Akibatnya, negara-negara Global South mula dilihat sekadar sebagai pasaran komersial, bukannya rakan strategik yang benar-benar setara.

Kesan jangka panjang keputusan Norway ini tidak boleh dipandang ringan. Negara-negara seperti di Asia, Latin Amerika dan Afrika pasti akan mula mempersoalkan tahap kebolehpercayaan industri pertahanan Barat. Hari ini alasan yang digunakan ialah keselamatan strategik. Esok mungkin atas nama hak asasi manusia. Lusa mungkin kerana perubahan dasar luar atau tekanan geopolitik tertentu. Akhirnya, negara pembeli dari negara bukan Eropah akan sentiasa berada dalam keadaan tiada kepastian dan terdedah kepada campur tangan politik kuasa besar.

Krisis NSM ini sepatutnya menjadi pengajaran penting kepada negara-negara membangun termasuk Malaysia. Pergantungan berlebihan kepada sistem pertahanan Barat bukan sahaja mewujudkan ketidakseimbangan strategik, malah boleh mengancam kesiapsiagaan keselamatan negara apabila keputusan politik luar dibuat secara unilateral. Dunia hari ini sedang bergerak ke arah sistem multipolar baharu. Dalam keadaan tersebut, negara-negara membangun perlu memperluaskan jaringan strategik mereka dan mengurangkan kebergantungan kepada satu blok kuasa sahaja.

Akhir sekali, dalam kes Malaysia–Norway ini, dunia sedang menyaksikan bagaimana Barat sekali lagi gagal mempertahankan nilai keadilan yang mereka sendiri laungkan kepada masyarakat antarabangsa.


*Prof Mohd Afandi Salleh merupakan Profesor Hubungan Antarabangsa di Fakulti Undang-Undang & Hubungan Antarabangsa, Universiti Sultan Zainal Abidin  dan Felo Kehormat IKIM

** Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Sidang Pengarang Astro AWANI.

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement