Skip to main content

Malaysia

Khidmat kesihatan Malaysia bukan sekadar transaksi, tekankan aspek empati - MHTC

[TB]_Aida Zurina, Agenda AWANI, MHTC_ASTRO AWANI
Naib Presiden Data Analitik dan Strategi Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Aida Zurina ketika temu bual bersama program Agenda AWANI. - Foto Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Penjagaan kesihatan di Malaysia tidak melihat perkhidmatan yang diberikan daripada aspek transaksi semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada aspek empati dan sentuhan manusia.  

Naib Presiden Data Analitik dan Strategi Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC), Aida Zurina berkata kepimpinan wanita dalam sektor ini memastikan tawaran tersebut dirasai oleh setiap pelancong kesihatan yang datang ke negara ini.

"Teknologi akan terus berkembang, tetapi nilai kemanusiaan tidak boleh diketepikan. Dalam memberikan rawatan terbaik, kami percaya empati dan sentuhan kemanusiaan sama pentingnya dengan kecemerlangan klinikal. Itulah yang membezakan pengalaman penjagaan kesihatan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Khidmat kesihatan Malaysia bukan sekadar transaksi, tekankan aspek empati - MHTC

 

Tambahnya, apa yang membezakan penjagaan kesihatan Malaysia ialah pengalaman menyeluruh yang ditawarkan kepada pesakit, bukan sekadar rawatan perubatan. 

Menurut Aida, pendekatan yang menggabungkan kecemerlangan klinikal dengan layanan berteraskan empati dan hospitaliti merupakan antara identiti unik penjagaan kesihatan negara.

“Apabila kita melihat negara serantau seperti Thailand yang mempunyai pendekatan hospitaliti tersendiri, kita tidak melihatnya sebagai sesuatu yang perlu dicontohi. Sebaliknya, kita percaya Malaysia perlu terus mengekalkan identiti dan kekuatan tersendiri dalam memberikan layanan kepada pesakit.

“Sebagai contoh, pesakit yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 atau Terminal 2 akan disambut melalui perkhidmatan Meet and Greet, yang menjadi antara keunikan pengalaman penjagaan kesihatan di Malaysia. Pendekatan ini mencerminkan penekanan Malaysia terhadap hospitaliti dan sokongan menyeluruh kepada pesakit, bermula sebaik mereka tiba di negara ini,” jelasnya.

MHTC merupakan agensi di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 2011 untuk memacu pertumbuhan industri pelancongan kesihatan negara. 

Sebagai penyelaras utama ekosistem Malaysia Healthcare, MHTC menghubungkan hospital swasta, penyedia perkhidmatan kesihatan dan rakan industri dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelancong kesihatan antarabangsa.

Sehingga 2026, industri pelancongan kesihatan Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang ketara dengan statistik terkini yang memberangsangkan. Pada tahun 2024, Malaysia merekodkan sekitar 1.6 juta pelancong kesihatan dengan hasil kira-kira RM2.72 bilion. 

Angka ini terus meningkat pada 2025, dengan jumlah pesakit antarabangsa mencecah sehingga 1.85 juta, manakala hasil industri dianggarkan melebihi RM3.35 bilion. Selari dengan momentum ini, kerajaan menyasarkan sekitar 2.5 juta pelancong kesihatan dan hasil RM3 bilion menerusi inisiatif Malaysia Year of Medical Tourism 2026 (MYMT 2026).

 

Agenda AWANI: Wanita, Jiwa Di Sebalik Malaysia Healthcare

Must Watch Video

Advertisement