TUMPAT: Kesepaduan Nasional kekal menjadi fokus utama Majlis Keselamatan Negara (MKN), kata Ketua Pengarah MKN Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.
Beliau berkata Kesepaduan Nasional merupakan teras ketiga daripada sembilan teras yang digariskan dalam Dasar Keselamatan Negara dan menjadi antara elemen terpenting dalam memastikan kedaulatan serta kestabilan negara terus terpelihara.
“Formula perpaduan bagi negara yang mempunyai masyarakat majmuk seperti Malaysia terletak pada kesediaan rakyat pelbagai kaum untuk saling memahami, bertoleransi, menerima kepelbagaian dan menghormati kontrak sosial yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika merasmikan Program Kesepaduan Nasional di sini hari ini.
Mengenai program berkenaan, beliau berkata ia dianjurkan bagi menyemarakkan lagi konsep kebersamaan serta memperkukuh perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum sebagai asas kepada pengukuhan keselamatan negara.
Raja Nushirwan berkata program itu selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menitikberatkan pembangunan negara secara menyeluruh berteraskan semangat perpaduan rakyat daripada pelbagai kaum.
“Perpaduan rakyat, kestabilan dan keselamatan negara perlu sentiasa menjadi keutamaan, lebih-lebih lagi ketika dunia berhadapan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan ekonomi dan konflik antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata slogan Dasar Keselamatan Negara iaitu “Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama” menuntut penglibatan aktif semua lapisan masyarakat dan tidak meletakkannya di atas bahu pasukan keselamatan dan agensi penguatkuasa semata-mata dalam memelihara keselamatan dan kedaulatan negara.
-- BERNAMA