CYBERJAYA: Keselamatan siber bukan lagi tanggungjawab pakar teknologi semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab bersama seluruh masyarakat dalam memastikan ruang siber negara kekal selamat, kata Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Raja Nurshirwan Zainal Abidin.
Beliau berkata dalam era digital yang semakin mencabar, keselamatan siber kini berkembang menjadi agenda nasional yang berkait rapat dengan keselamatan negara, kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Katanya Kerajaan MADANI komited memastikan transformasi digital negara dilaksanakan secara selamat, inklusif dan mampan menerusi pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024, Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2025-2030 serta pelbagai inisiatif pembangunan bakat digital negara.
“Namun, kejayaan dasar dan strategi itu bergantung kepada keupayaan membina masyarakat yang celik digital, bertanggungjawab dan mempunyai tahap kesedaran keselamatan siber yang tinggi melalui program seperti My Cyber Hero,” katanya ketika berucap pada majlis penutupan My Cyber Hero 2026 di sini, hari ini.
Beliau berkata pertandingan My Cyber Hero edisi tahun ini menyaksikan 32 pasukan terbaik dari seluruh negara berjaya mara ke peringkat akhir, membabitkan 16 pasukan kategori sekolah rendah (Rookie Cyber Hero) dan 16 pasukan kategori sekolah menengah (Star Cyber Hero).
My Cyber Hero merupakan program pendidikan keselamatan siber peringkat kebangsaan yang direka bagi melengkapkan pelajar sekolah dengan pengetahuan serta kemahiran untuk memahami, membangunkan dan melindungi masa depan digital negara.
Program itu dianjurkan oleh MKN menerusi Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dengan kerjasama Micro Concept Tech Sdn Bhd dan BlackBerry.
-- BERNAMA