Skip to main content

Malaysia

Kerajaan kekal bantuan rakyat meskipun tanggung hampir RM40 bilion subsidi petroleum

KUALA LUMPUR, 6 Julai -- Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan sempena Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata pendirian kerajaan ketika ini adalah untuk meneruskan pelbagai bentuk bantuan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA). - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan mengurangkan mana-mana subsidi sedia ada kepada rakyat meskipun diunjurkan menanggung subsidi produk petroleum hampir RM40 bilion bagi tahun ini berikutan konflik di Asia Barat.

Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata pendirian kerajaan ketika ini adalah untuk meneruskan pelbagai bentuk bantuan, termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Beliau berkata pelaksanaan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) sejak September tahun lepas telah berjaya melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga minyak dunia ketika krisis di Asia Barat memuncak pada Mac dan April lepas.

“Dengan harga yang ditetapkan dan kuota yang diberi, rakyat tidak terjejas dan tidak dipengaruhi oleh keadaan yang berlaku di Asia Barat.

“Rakyat bayar RM1.99 (seliter) walaupun pada Mac dan April harga sebenar sampai RM5. Inilah dua sumbangan yang penting telah diperkenalkan melalui BUDI95, iaitu harga kekal semasa krisis dan kerajaan telah memastikan rakyat ada bekalan minyak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) sama ada kerajaan berhasrat mengurangkan subsidi lain, termasuk bahan makanan dan bantuan STR, SARA atau bantuan persekolahan susulan unjuran subsidi produk petroleum yang besar tahun ini.

Liew berkata kerajaan telah memastikan kestabilan harga petrol dan bekalan bahan api walaupun berdepan dengan ketidaktentuan pasaran global.

“Saya rasa inilah keunikan dan juga kelebihan BUDI95. Di Malaysia, kita masih (mengharungi) kesesakan jalan raya kerana kita ada bekalan minyak,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement