Skip to main content

Malaysia

Kenapa ucapan kebencian cepat tular berbanding fakta

41677646626_HANDPHONE.jpg
Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 menyaksikan pihak berkepentingan terus berbincang bagi mencari kaedah terbaik untuk membendung ucapan kebencian, retorik yang memecahbelahkan masyarakat serta penyebaran maklumat palsu di platform media sosial.  - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 menyaksikan pihak berkepentingan terus berbincang bagi mencari kaedah terbaik untuk membendung ucapan kebencian, retorik yang memecahbelahkan masyarakat serta penyebaran maklumat palsu di platform media sosial.  

Situasi itu lebih ketara ketika musim pilihan raya, dan pada masa ini sedang berlangsung Pilihan Raya Negeri Johor yang akan disusuli Negeri Sembilan. Dalam tempoh pilihan raya, lazimnya berlaku peningkatan kandungan negatif dan berita palsu yang didorong oleh kepentingan politik, di media sosial.

Ketika berucap pada Simposium Harmoni  anjuran Sekretariat Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Keharmonian Kaum dan Agama di bangunan Parlimen pada 26 Jun lalu, pensyarah ekonometrik dan statistik perniagaan di Universiti Monash Malaysia,  Dr Nazirul Hazim A. Khalim berkata, penyelidikan mereka mendapati pengguna media sosial tidak ambil peduli sama ada sumber hantaran yang dikongsikan mereka itu adalah sumber rasmi atau sebaliknya.

"Semasa kami menjalankan kajian pilihan raya Filipina, Indonesia dan Malaysia, kami dapati faktor yang paling penting ialah capaian dan keterlibatan pengguna, bukannya kesahihan, kebolehpercayaan atau sumber maklumat itu sendiri," katanya.

Masalah utama, katanya, ialah kesan penguatan kandungan oleh platform media sosial. 

Isu yang dihadapi oleh penggubal dasar, ahli akademik dan pakar media sekarang ialah cuba mengehadkan penyebaran kandungan media sosial yang cenderung memihak kepada kandungan negatif dan membangkitkan kemarahan, sambil pada masa sama melindungi hak asasi serta kebebasan bersuara.

Dr Nuurrianti Jalli, felow pelawat di ISEAS Yusuf Ishak Institute di Singapura, menjalankan kajian terhadap kandungan TikTok yang dihasilkan semasa Pilihan Raya Umum ke-15 Malaysia pada 2022. 

Beliau mendapati 55 peratus daripada 679 video berkaitan pilihan raya yang meraih lebih 1,000 tontonan, mengandungi unsur ucapan kebencian.

Dalam kertas kerja yang dibentangkannya pada persidangan anjuran Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia (CSIS Indonesia) pada Januari 2024, Nuurrianti mengingatkan "seiring dengan perkembangan teknologi komunikasi, khususnya dengan kemajuan pesat kecerdasan buatan (AI), terutama AI generatif, para penyebar propaganda, tentera siber dan penyokong tegar dijangka menggunakan strategi lebih canggih dalam pilihan raya akan datang."

BAGAIMANA MEREKA MEMPENGARUHI ANDA 

Walaupun mereka menyaksikan penularan kandungan sedemikian sepanjang musim pilihan raya di Malaysia dan negara lain, ramai yang masih belum mengetahui cara menangkis kandungan berunsur kebencian. 

Keadaan itu bukanlah salah mereka sepenuhnya.

Otak manusia mempunyai apa yang dipanggil saintis sebagai kecenderungan negatif, iaitu kecenderungan untuk lebih menumpukan pada mesej yang mencetuskan tindak balas emosi negatif.

Kecenderungan negatif merujuk naluri asas manusia untuk lebih mudah menyedari dan bertindak balas terhadap ancaman atau perkara yang bersifat negatif berbanding hal-hal positif.

Misal kata, seseorang yang terlalu asyik menyaksikan keindahan matahari terbenam di sebatang sungai sehingga gagal menyedari “sebatang kayu balak” terapung berhampiran, mempunyai peluang untuk terus hidup lebih rendah berbanding mereka yang menyedari lebih awal batang kayu itu sebenarnya seekor buaya.

Kalau mereka tidak cepat-cepat beredar dari situ mereka mungkin jadi makanan buaya.

Dulu, otak yang lebih peka terhadap ancaman negatif membantu memastikan kelangsungan hidup keturunan dan spesies manusia. 

Sekarang, kecenderungan sekuat itu tidak lagi diperlukan, namun disebabkan oleh otak belum beradaptasi dengan perubahan tersebut, ia masih bertindak balas terhadap pelbagai rangsangan negatif daripada media sosial dan dunia yang saling berhubung, seolah-olah semuanya merupakan ancaman sebenar.

"Kita adalah makhluk yang beremosi dan juga makhluk sosial. Oleh itu, kita memberi reaksi yang kuat terhadap sesuatu cerita. Kita juga memberi reaksi kuat terhadap kandungan yang menyentuh emosi, termasuk berita negatif," kata Nuurrianti kepada Bernama menerusi Google Meet.

"Kebanyakan maklumat yang kita lihat, khususnya apabila membincangkan isu polarisasi dan ucapan kebencian, tampak seperti kandungan yang mengancam. Namun, sama ada maklumat tersebut benar atau tidak, itu tidak begitu penting."

Platform media sosial tahu akan hakikat itu dan melaras algoritmanya untuk memperkukuh penyebaran kandungan yang mencetuskan emosi kuat dalam kalangan pengguna.

Ahli akademik dan pakar media yang menghadiri Simposium Harmoni turut bersetuju bahawa kandungan negatif menjadi pemacu utama trafik di media sosial.

"Ini sebahagian daripada model perniagaan mereka. Kandungan yang memudaratkan lazimnya sangat menarik perhatian," kata Pengarah Center for Responsible Technologi (CERT), Harris Zainul.

Semakin lama seseorang pengguna berinteraksi dengan kandungan di sesebuah platform, semakin banyak iklan yang boleh dipaparkan oleh syarikat media sosial kepada pengguna itu. 

Malah, syarikat-syarikat ini juga memperkenalkan sistem pengewangan kandungan, iaitu memberikan ganjaran kepada pengguna yang berjaya mencatatkan kadar keterlibatan yang tinggi. 

Oleh sebab kandungan negatif mampu meningkatkan keterlibatan pengguna, ramai yang mula mengambil kesempatan daripada sistem itu.

Pengarah Eksekutif Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), Wathshlah Naidu berkata, pihaknya turut melihat corak yang sama ketika memantau ucapan kebencian dan kandungan berkaitan pilihan raya.

"Saya berikan satu contoh corak yang kami perhatikan. Semuanya bermula dengan seorang individu, kemudian jumlah keterlibatan kian meningkat. Apabila angka keterlibatan bertambah, mereka mula meletakkan pautan pemasaran afiliasi. Selepas itu, kami juga melihat mereka mula menjual barangan dagangan sendiri.

"Apabila platform media sosial membenarkannya, orang ramai boleh menjana pendapatan daripada kebencian dan kandungan yang membangkitkan emosi. Ini bermakna kita perlu memastikan platform-platform ini dipertanggungjawabkan," katanya pada simposium tersebut.

Nazirul Hazim daripada Universiti Monash Malaysia berkata, penyelidikan menunjukkan berita palsu dan kandungan negatif menerima kadar keterlibatan  lebih tinggi.

Satu kajian bertajuk Emotion Shapes the Diffusion of Moralised Content in Social Networks oleh Brady W. et al, yang diterbitkan dalam jurnal Proceedings of the National Academy of Sciences (PNAS), mendapati kandungan bermoral mengandungi unsur emosi negatif menerima 20 peratus lebih banyak perkongsian.

Namun begitu, bukan semua kandungan negatif bersifat kebencian. 

Sebahagian besarnya berkaitan isu yang menjadi kepentingan awam seperti rasuah dan perubahan iklim.

Sementara itu, kajian bertajuk The Spread of True and False News Online oleh Vosoughi  et al, yang diterbitkan dalam jurnal Science oleh Makmal Media Massachusetts Institute of Technology (MIT Media Lab) dan MIT Sloan School of Management pada  2018, mendapati berita palsu adalah 70 peratus lebih berkemungkinan diulang siar berbanding berita yang benar. 

Kajian itu juga menunjukkan berita benar mengambil masa enam kali lebih lama untuk sampai kepada 1,500 orang berbanding berita palsu.

Menurut Nazirul Hazim, satu cara untuk menangani masalah itu ialah mewajibkan platform media sosial mengehadkan penguatan penyebaran kandungan yang memudaratkan, contohnya dengan memperlahan kadar perkongsian sesuatu hantaran selepas mencapai ambang tertentu.

"Jadi, jika kandungan itu memudaratkan atau tidak benar, tetapi mekanisme penguatannya tidak lagi berfungsi, maka kandungan berkenaan tidak akan memberi kesan yang sama," katanya.

APA YANG BOLEH KITA LAKUKAN? 

Selepas bertahun-tahun masyarakat memberikan tekanan selain semakin banyak penyelidikan yang mendokumentasikan impaknya, kini perundangan dan kawal selia menjadi tonggak utama dalam usaha menangani kesan buruk media sosial terhadap golongan muda dan kesihatan mental.

Yang paling mendapat perhatian ketika ini termasuk undang-undang yang tidak membenarkan individu berusia 16 tahun ke bawah memiliki media sosial, seperti yang diperkenalkan di Australia sebelum diikuti oleh Indonesia, Brazil dan Malaysia. 

Beberapa negara lain juga sedang menimbang undang-undang sama, selain cadangan supaya syarikat media sosial diwajibkan berkongsi maklumat algoritma mereka.

Satu daripada cadangan ialah mewujudkan ketelusan algoritma, iaitu syarikat media sosial diwajibkan oleh undang-undang untuk mendedahkan bagaimana mereka mengenal pasti sesuatu hantaran sebagai menarik, sama ada mereka akan memperlahankan atau meningkatkan penyebarannya, serta pada siapa mereka akan paparkan kandungan itu dan kenapa.

Harris daripada CERT berkata, setakat ini syarikat media sosial masih tidak telus dalam berkongsi data mereka, sekali gus menyukarkan penyelidik mengkaji kesan penggunaan media sosial terhadap pengguna serta menentukan sama ada platform itu benar-benar menyumbang kepada polarisasi masyarakat.

"Kita meminta kerajaan menggubal Akta Kebebasan Maklumat kerana kita mahukan ketelusan daripada kerajaan. Jadi, mengapa kita tidak menuntut tahap ketelusan yang sama daripada platform media sosial?" katanya, menambah data yang diberikan oleh syarikat-syarikat berkenaan masih tidak mencukupi untuk dibuat sebarang kesimpulan.

Sementara itu, para pakar turut berpandangan undang-undang mengawal selia ucapan yang sedia ada di negara ini wajar diperhalusi supaya dapat diberikan takrifan lebih jelas mengenai ucapan kebencian serta perlindungan kepada golongan rentan. 

Namun mereka mengingatkan sekatan itu tidak seharusnya digunakan untuk menyekat hak-hak sivil seperti kebebasan bersuara dalam sebuah negara demokrasi.

Wathshlah berkata, takrifan itu sepatutnya berpandukan Pelan Tindakan Rabat mengenai Larangan Advokasi Kebencian Berasaskan Negara, Kaum atau Agama yang Mendorong kepada Diskriminasai, Permusuhan atau Keganasan (Pelan Tindakan Rabat) yang diterima pakai oleh Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 2012. 

Pelan tindakan itu menggariskan enam kriteria bagi menentukan sama ada sesuatu ucapan boleh dianggap sebagai ucapan kebencian yang menghasut, termasuk konteks, identiti penutur dan niat penyampaiannya.

STRATEGI DI LUAR TALIAN

Dalam artikel bertajuk Your Brain Was Never Designed for This Much Bad News yang diterbitkan oleh ScienceDaily,  para penyelidik mencadangkan beberapa pendekatan yang boleh membantu mengatasi keletihan akibat pendedahan berterusan kepada berita serta melindungi kesihatan mental.

"Mengehadkan penggunaan berita pada tempoh masa tertentu dapat mengurangkan rasa terbeban. Memilih untuk membaca laporan yang lebih mendalam juga penting. 

"Satu artikel panjang yang disediakan secara teliti oleh wartawan akan memberikan maklumat yang jauh lebih baik berbanding lambakan hantaran rawak di Instagram yang tidak boleh dipercayai dan sarat dengan unsur emosi," menurut mereka.

Walaupun mengakui bukti akan keberkesanan undang-undang yang mengehadkan umur penggunaan media sosial masih sedikit, Harris berharap undang-undang itu menjadi sebahagian daripada rangkaian perundangan yang lebih menyeluruh bagi memastikan platform media sosial dipertanggungjawabkan.

Beliau berkata pendekatan itu boleh disamakan dengan usaha global mengurangkan kadar merokok dalam kalangan remaja dan masalah kesihatan berkaitan tembakau melalui pelaksanaan undang-undang antitembakau secara berperingkat di pelbagai negara.

"Kesan rangkaian  itu masih belum benar-benar berlaku. Harapannya ialah apabila lebih banyak negara memperkenalkan larangan penggunaan media sosial melalui had umur, maka norma tentang bagaimana zaman kanak-kanak yang sepatutnya dilalui juga akan berubah," katanya.

Nuurrianti turut bersetuju. “Saya fikir satu suara sahaja tidak cukup kuat. Sebaliknya, apabila banyak pihak bersuara bersama-sama, kesannya akan menjadi lebih besar. Jadi, saya percaya kerjasama antara negara yang berkongsi kebimbangan yang sama amat diperlukan," katanya.

Di tengah-tengah lambakan kandungan negatif serta retorik yang memecahbelahkan masyarakat sehingga mencetuskan kemarahan dan kebencian terhadap sesebuah komuniti berdasarkan kaum, agama atau status imigresen, tidak menghairankan jika ada yang memilih untuk "mengasingkan diri" daripada berita dan media sosial sepenuhnya. 

Malah, ada yang mula menggunakan telefon analog atau telefon asas, supaya mereka terputus daripada Internet dan menggunakan telefon hanya sebagai alat komunikasi.

Bagaimanapun, para pakar mengingatkan langkah menjauhkan diri sepenuhnya daripada perkembangan semasa bukanlah penyelesaian yang ideal kerana sebuah demokrasi yang sihat bergantung pada rakyat yang menerima maklumat secukupnya.

"Ini tidak boleh dijadikan penyelesaian utama masyarakat kerana ia meletakkan beban ke atas orang ramai. Bukan semua orang mampu memutuskan hubungan dengan dunia digital," kata Nuurrianti.

Sebaliknya, beliau dan beberapa pakar lain mencadangkan supaya program literasi media dan pemikiran kritis diperluas kepada semua lapisan masyarakat, bukan hanya untuk kanak-kanak.

-- BERNAMA 

Must Watch Video

Advertisement