Skip to main content

Malaysia

Kedutaan Iran lancar 'The Loving Father', abadikan legasi Khamenei

Duta Iran Pelancaran Buku
Mohammadi (tiga, kanan) hadir pada majlis pelancaran buku 'The Loving Father' yang diadakan di Kedutaan Republik Islam Iran, Kuala Lumpur, 9 Julai 2026. - Foto Kedutaan Iran

KUALA LUMPUR: Kedutaan Iran di sini melancarkan buku 'The Loving Father' semalam bertepatan dengan hari Ayatollah Seyyed Ali Khamenei disemadikan di Mashhad, Iran, pada Khamis.

Duta Iran ke Malaysia, Valiollah Mohammadi berkata, penerbitan buku itu merupakan penghormatan kepada seorang pemimpin yang mengabdikan seluruh hidupnya dalam memperjuangkan keadilan dan mempertahankan golongan tertindas.

"Allahyarham kekal berpegang teguh kepada prinsip perpaduan umat Islam dan keadilan sepanjang hayatnya, sekali gus menjadi simbol perjuangan dalam dunia Islam kontemporari,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan hari ini.

Mohammadi turut menyifatkan penyertaan jutaan rakyat dalam siri upacara penghormatan dan pengebumian sebagai bukti penghormatan tinggi masyarakat terhadap kepimpinan Allahyarham.

Media melaporkan, jutaan orang hadir pada upacara penghormatan terakhir Khamenei yang bermula di Tehran pada Jumaat lalu, sebelum diteruskan di Qom, Najaf dan Karbala di Iraq, serta berakhir di Mashhad.

"Buku ini bertujuan memperkenalkan kepada pembaca antarabangsa mengenai keperibadian, sumbangan intelektual, kepimpinan dan legasi berkekalan Khamenei," katanya lagi.

Kenyataan tersebut turut menyatakan beberapa ahli akademik, tokoh agama dan penggiat budaya Malaysia menyifatkan Allahyarham sebagai seorang ilmuwan Islam yang memainkan peranan penting.

Tambah Mohammadi, sokongan teguh Allahyarham terhadap perjuangan Palestin serta perpaduan umat Islam terus menjadi inspirasi kepada generasi muda.

Antaranya dalam bidang ilmu sains, pembangunan negara serta pertahanan Iran, ketika berdepan tekanan dan sekatan luar selama hampir lima dekad.

Mereka turut menyifatkan kerjasama ilmuan dalam pengajian al-Quran, kebudayaan dan intelektual antara Iran dan Malaysia sebagai jambatan penting dalam memperkukuh persefahaman antara kedua-dua negara Islam.

Menurut mereka, legasi Khamenei melangkaui sempadan apabila pemikiran serta pendiriannya mengenai kemerdekaan, keadilan dan maruah terus menjadi inspirasi kepada masyarakat di pelbagai negara.

Majlis pelancaran buku yang diadakan di Kedutaan Republik Islam Iran di sini semalam turut dihadiri pakar sosiologi Prof Syed Farid Alatas, Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, Ahli Parlimen Sik Ahmad Tarmizi Sulaiman serta beberapa tokoh lain.

Untuk rekod, Khamenei terkorban dalam serangan Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari lalu.

Must Watch Video

Advertisement