Skip to main content

Malaysia

Kebakaran rumah di Sandakan ragut nyawa wanita warga emas

SANDAKAN: Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Fook Hin, Batu 12, di sini malam tadi.
Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera Water Tanker. - Foto JBPM Sabah

SANDAKAN: Seorang wanita warga emas ditemukan meninggal dunia dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Fook Hin, Batu 12, di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira kira jam 8.38 malam itu, mangsa dikenali sebagai Nicole, 84, dilaporkan terperangkap di dalam rumah jenis separuh kekal dua tingkat berkeluasan 40 x 80 kaki persegi yang terbakar sepenuhnya.

Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan.

Komander Operasi Kanan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 9 malam selepas menempuh jarak perjalanan kira kira 20 kilometer.

“Setibanya di lokasi, didapati sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal telah terbakar 100 peratus dan terdapat seorang mangsa wanita warga emas dipercayai masih berada di dalam rumah.

“Pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat sebelum mangsa berjaya ditemui pada jam 10.44 malam di bahagian ruang tamu rumah,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 300 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera Water Tanker.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.35 malam manakala operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

 

 

Must Watch Video