Skip to main content

Malaysia

Kebakaran hutan Taman Negara Niah padam sepenuhnya selepas tiga hari

TAMAN NEGARA NIAH DISAMBAR PETIR
Pihak berkuasa telah menutup sementara Taman Negara Niah kepada orang awam serta meningkatkan pemantauan di laluan denai menuju Traders Cave. - Gambar fail

MIRI: Kebakaran hutan di kawasan lereng bukit berhampiran Gua Niah, di Taman Negara Niah berjaya dipadamkan sepenuhnya hari ini selepas tiga hari usaha berterusan membabitkan Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan bantuan agensi berkaitan.

Pusat Gerakan Operasi JBPM Sarawak memaklumkan operasi pemadaman menggunakan helikopter menerusi teknik water bombing bermula pada 9.45 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 12 tengah hari.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 20 water bombing dilakukan hari ini melibatkan penggunaan 26,000 liter air dalam operasi selama tiga jam 36 minit.

“Kebakaran melibatkan kawasan seluas 1.62 hektar dan keseluruhannya berjaya dipadamkan,” menurut kenyataan itu.

Operasi hari ini melibatkan sebuah helikopter milik Unit Udara JBPM bersama 11 anggota, selain sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah dengan kekuatan lapan anggota.

Semalam, operasi menggunakan helikopter dilakukan berikutan lokasi kebakaran yang berada di lereng bukit batu kapur curam dan berbatu berhampiran Traders Cave tidak dapat diakses melalui jalan darat.

Kebakaran dipercayai berpunca daripada sambaran petir yang menyebabkan pokok terbakar di dua lokasi iaitu lereng Bukit Traders Cave dan kawasan Kuala Hangus di Gua Besar.

Berikutan faktor keselamatan, pihak berkuasa telah menutup sementara Taman Negara Niah kepada orang awam serta meningkatkan pemantauan di laluan denai menuju Traders Cave.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement