Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak 10 tahun hilang di Sungai Nilam ditemui lemas

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan tidak jauh dari lokasi jatuh. -- SINAR HARIAN
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan tidak jauh dari lokasi jatuh.

HULU SELANGOR: Kehilangan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas selepas dihanyut arus deras dalam kejadian di Sungai Nilam, Sungai Selisek sebelum ini akhirnya terungkai selepas mayat mangsa ditemukan pada Khamis.

Mangsa, Muhamad Aakif Imran Asrul Nizam, 10, ditemukan pasukan penyelamat pada jam 4.36 petang di dasar sungai berkenaan.

Ketua Zon Rawang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba II Mustakim Rimon berkata, mangsa ditemukan kira-kira 300 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh.

Menurutnya, operasi pencarian memasuki hari kedua melibatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dengan bantuan beberapa agensi lain.

"Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) melakukan selaman di kawasan sungai yang mempunyai kedalaman kira-kira enam meter sebelum menemukan mangsa di dasar sungai.

"Mangsa kemudiannya dibawa ke Pusat Kawalan Bomba (PKB) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, operasi pencarian dilakukan di permukaan sungai dalam radius 300 meter dari lokasi kejadian.

"Antara agensi yang terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Pejabat Daerah Hulu Selangor," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dipercayai lemas selepas dibawa arus deras ketika berada di Sungai Bernam berhampiran Kampung Sungai Nilam pada Rabu. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement