KUALA LUMPUR: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pelajar, Muhammad Amir Asyraf Ahmad Sabri pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Paloh yang meninggal dunia pada Selasa.
Dalam kenyataan rasmi, JPN Kelantan menyatakan bahawa pihaknya telah mengarahkan bantuan segera disalurkan kepada keluarga pelajar berkenaan bagi meringankan beban yang ditanggung.
Selain itu, kerjasama turut dijalankan bersama pihak sekolah dan agensi berkaitan bagi memastikan semua urusan pengurusan serta kebajikan dapat diselesaikan dengan baik.
Pada Selasa, media melaporkan pelajar berkenaan dilaporkan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya.
Dalam pada itu Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Sik Choo Foo berkata, siasatan lanjut tidak menemui sebarang unsur jenayah dan jenazah diserahkan kepada ahli keluarga untuk urusan pengebumian.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih diteruskan.