PUTRAJAYA: Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) sedang menyiasat insiden penzahiran tanpa kebenaran butiran akaun dan bil telefon seorang pelanggan sebuah syarikat telekomunikasi di media sosial baru-baru ini.
JPDP dalam kenyataan hari ini memaklumkan tindakan akan diambil sekiranya hasil siasatan di bawah Prinsip-Prinsip Perlindungan Data Peribadi dan Seksyen 130 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 mendapati sebarang ketidakpatuhan.
Menurut JPDP, setiap pengawal data hendaklah mematuhi tujuh Prinsip Perlindungan Data Peribadi, termasuk memastikan data peribadi pelanggan dilindungi daripada akses dan penzahiran tanpa kebenaran.
"Pengawal data turut dingatkan supaya sentiasa memperkukuh langkah keselamatan teknikal dan organisasi serta memastikan infrastruktur penyimpanan data dan sistem rangkaian berada pada tahap keselamatan yang sewajarnya," menurut kenyataan itu.
BACA: Kebocoran maklumat peribadi: Peguam hantar LOD kepada Maxis - Khairul Aming
Terdahulu, seorang pengguna Threads mendakwa mengetahui butiran bil telefon usahawan dan pempengaruh media sosial Khairul Amin Kamarulzaman atau lebih dikenali sebagai “Khairul Aming".
Sehubungan itu, syarikat telekomunikasi Maxis pada semalam mengesahkan insiden itu berpunca daripada akses tanpa kebenaran.
Maxis dalam satu kenyataan memaklumkan individu yang dikaitkan dengan insiden berkenaan telah dikenal pasti tindakan undang-undang sedang diambil.
Manakala, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan mendapatkan laporan penuh berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadi membabitkan Khairul Aming itu.
Beliau menegaskan mana-mana individu tidak sepatutnya mempunyai akses kepada maklumat peribadi individu lain serta inventori atau sistem milik syarikat telekomunikasi.
"Ini termasuk kepada sesiapa yang dengan sengaja menyebarkan maklumat Personally Identifiable Information (PII), ia adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi," katanya.
-- BERNAMA