Skip to main content

Malaysia

JPA beri mandat kepada KKM urus agihan perjawatan

PUTRAJAYA, 5 Feb -- Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan amanat pada Majlis Amanat KPPA 2025 dan Perhimpunan Bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di Kompleks C hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Wan Ahmad Dahlan berkata setakat ini, terdapat lebih 9,000 kekosongan perjawatan bagi pegawai perubatan di KKM yang sepatutnya boleh diisi oleh lebih 11,000 pegawai perubatan kontrak. - Gambar fail/Bernama

KLUANG: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi mandat kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengurus dan mengagihkan sendiri perjawatan di kementerian itu bagi mempercepat pengisian keperluan tenaga kerja kesihatan di seluruh negara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata setakat ini, terdapat lebih 9,000 kekosongan perjawatan bagi pegawai perubatan di KKM yang sepatutnya boleh diisi oleh lebih 11,000 pegawai perubatan kontrak.

Beliau berkata dengan mandat berkenaan, KKM kini mempunyai fleksibiliti untuk menentukan agihan perjawatan mengikut keperluan perkhidmatan dan fasiliti kesihatan.

“Di peringkat agensi pusat seperti JPA, kita meluluskan sejumlah perjawatan kepada KKM dan KKM yang akan membuat pengagihan kepada hospital berkaitan.

“Jadi, perkara ini memang ada perbincangan lanjutan antara JPA dan juga KKM bagi menangani isu yang memang saya percaya telah berlaku sekian lama, dan ia memerlukan sedikit masa untuk diselesaikan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Dialog Perkhidmatan Awam MADANI Bersama KPPA di sini hari ini.

Terdahulu, Wan Dahlan dalam ucapannya mengingatkan penjawat awam supaya terus memperkukuh kepercayaan rakyat dengan menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti, cekap dan berintegriti.

Beliau berkata rakyat tidak menilai kerajaan berlandaskan dasar yang diumumkan semata-mata sebaliknya melalui pelaksanaan dan manfaat yang mereka terima.

“Perkhidmatan yang cekap, pantas, telus dan berkesan adalah yang dituntut serta dinilai oleh rakyat, dan perkhidmatan tersebut perlu seiring dengan perubahan pentadbiran yang kini lebih kepada platform digital.

“Rakyat kini juga lebih mengharapkan urusan perkhidmatan yang lebih ringkas, mudah, mesra pelanggan serta telus,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement