KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan mana-mana rakyat Israel yang dikesan berada di negara ini akan diusir serta-merta kerana Malaysia tidak mengiktiraf negara berkenaan.
Beliau turut berkata, semua agensi berkaitan sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat warga Israel yang menggunakan dua pasport atau kewarganegaraan untuk menyertai komuniti Network School di Forest City, Johor.
"Saya percaya Menteri Pendidikan Tinggi akan memberi jawapan berhubung perkara itu.
"Kita siasat, kita tidak izinkan. Kalau ada, tindakan mesti diambil.
"Kalau ada rakyat Israel, kerana kita tidak iktiraf, mereka akan diusir segera. Tapi (sekarang) semua agensi menjalankan siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Khas Murid-Murid Wilayah Persekutuan A Celebration of Life and Peace anjuran ERM Foundation di sini, pada Rabu.
Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan pihaknya sudah memulakan siasatan menyeluruh berhubung operasi Network School di Forest City, Johor, termasuk meneliti identiti dan status kewarganegaraan individu yang didakwa terbabit dalam projek berkenaan.
Langkah itu diambil susulan kebimbangan yang dibangkitkan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengenai dakwaan terdapat warga Israel yang menyertai komuniti berkenaan dengan menggunakan pasport atau kewarganegaraan kedua.
Network School ialah komuniti kediaman dan ruang kerja bersama persendirian yang dilancarkan pada 2024 oleh pelabur teknologi, Balaji Srinivasan.
Komuniti itu menyasarkan golongan yang digelar techno-optimist dan mengenakan yuran melebihi RM6,000 sebulan yang merangkumi penginapan, makanan serta pelbagai kemudahan lain termasuk akses ke jimnasium.
Kontroversi itu tercetus selepas beberapa pengguna media sosial mempersoalkan kehadiran Network School di Forest City, termasuk dakwaan bahawa projek berkenaan menarik penyertaan usahawan asing, termasuk warga Israel yang memasuki Malaysia.