Skip to main content

Malaysia

Jenazah 2 mangsa kepala air Sungai Sedim dikebumi satu liang

kepala air, kebumi - Astro AWANI
Jenazah Nur Atikah dan sepupunya, Muhammad Aariz dikebumikan dalam satu liang pada jam petang Sabtu. - Gambar/ Astro AWANI

JITRA: Jenazah dua mangsa lemas akibat kepala air di pusat peranginan Sungai Sedim, Kulim pada Jumaat selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Palas, di sini pada Sabtu.

Jenazah Nur Atikah Abdullah, 28, dan sepupunya, Muhammad Aariz Daniel Md Radzi, 3, dikebumikan dalam satu liang pada jam 5.30 petang.

Terdahulu jenazah kedua-dua mangsa berkenaan dibawa ke Surau Kampung Palas untuk disembahyangkan, sebaik selesai bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Hampir 200 orang hadir menghadiri pengebumian jenazah Nur Atikah dan Muhammad Aariz Daniel, terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.

BACA: 3 termasuk 2 kanak-kanak maut dihanyut kepala air di Sungai Sedim

BACA: Tiga mangsa kepala air di Sungai Sedim dihanyutkan sejauh satu kilometer

Astro AWANI pada Jumaat melaporkan, tiga maut selepas dihanyutkan arus deras fenomena kepala air di pusat peranginan Sungai Sedim.

Tiga mangsa yang maut itu ditemukan terapung di dalam sungai kira-kira satu kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

Nur Atikah yang datang ke pusat peranginan itu bersama kira-kira 15 ahli keluarga termasuk ibu bapanya, sempat menyambut hari lahir anak tunggalnya, Nur Atiya Sofiya Shazwan, 7, di kawasan berkenaan sebelum kejadian kepala air berlaku sekitar jam 2 petang.

 

Must Watch Video

Advertisement