Skip to main content

Malaysia

Jelajah Aspirasi Bebas Dadah perkukuh kesedaran masyarakat perangi dadah

Sumber: AADK
Program bertemakan 'Satu Langkah Jelajah, Sejuta Harapan Tanpa Dadah' itu diadakan bersempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026 - Foto AADK

KUALA LUMPUR: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) terus memperkukuhkan usaha pencegahan penyalahgunaan dadah menerusi Program Kembara Antidadah: Jelajah Aspirasi Bebas Dadah Seberang Perai Utara yang berjaya menarik kira-kira 1,500 pengunjung di Dataran Sungai Muda, Kepala Batas pada Ahad.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) AADK, Shobah Jamil berkata, program berkonsepkan santai dan mesra komuniti itu menjadi platform penting bagi menyampaikan mesej antidadah secara lebih berkesan di samping memperkukuhkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat.

"Ancaman dadah masih menjadi cabaran besar yang bukan sahaja merosakkan individu, malah menjejaskan institusi keluarga, kesejahteraan masyarakat dan pembangunan negara.

"Justeru, pendekatan mendekati masyarakat secara langsung menerusi program seperti ini amat penting dalam membina kesedaran serta menggalakkan penglibatan semua pihak bagi merealisasikan aspirasi negara bebas dadah," katanya ketika berucap pada program itu.

Program bertemakan 'Satu Langkah Jelajah, Sejuta Harapan Tanpa Dadah' itu diadakan bersempena Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan 2026.

Majlis perasmian disempurnakan Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan Pulau Pinang, Datuk Rashidi Zainol.

Turut hadir Pengarah Bahagian Pencegahan AADK, Siti Mariam Mursidan; Pengarah AADK Pulau Pinang, Roswati Apin; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Penaga, Mohd Naim Salleh; Pegawai Cawangan Sekretariat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang, Leftenan Pertahanan Awam Noor Mohd Saidi Nour Lajis dan Presiden Skuad Antidadah Kebangsaan, Shukri Che Wang.

Mengulas lanjut, Shobah berkata, AADK akan terus memperkasa pelbagai strategi berteraskan pendidikan pencegahan, rawatan, pemulihan dan pengintegrasian semula klien.

Bagaimanapun, ujarnya, kejayaan usaha itu memerlukan sokongan berterusan daripada ibu bapa, institusi pendidikan, majikan, pemimpin masyarakat serta komuniti.

Beliau turut menyeru masyarakat memainkan peranan sebagai ejen perubahan dengan menyampaikan maklumat tepat mengenai bahaya dadah, mengenal pasti golongan berisiko dan membantu mereka mendapatkan intervensi yang sewajarnya.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai aktiviti diadakan termasuk kayuhan santai sejauh 18 kilometer, Pocket Talk, pameran jabatan dan agensi, pesta durian, gunting rambut percuma, sukan rakyat serta pertandingan mewarna.

 

Must Watch Video

Advertisement