PUCHONG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memperkukuh kesiapsiagaan aset dan logistik bagi menghadapi risiko cuaca panas, kering serta kebakaran susulan kemungkinan kesan lebih serius fenomena 'Super El Nino' antara November hingga Januari depan.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, tumpuan utama pihaknya ketika ini adalah memastikan kesiapsiagaan operasi berada pada tahap optimum bagi menghadapi insiden yang berpotensi berlaku susulan perubahan cuaca.
Menurut beliau, perancangan operasi JBPM mengambil kira unjuran keadaan cuaca serta risiko peningkatan kebakaran hutan, kebakaran tanah gambut dan jerebu sekiranya berlaku keadaan kering berpanjangan.
“Fokus bomba pada masa ini ialah bagaimana kita menangani insiden-insiden yang dijangka akan memberi kesan akibat kesan 'Super El Nino' yang akan berlaku antara November dan Januari.
Beliau berkata demikian dalam Sesi Libat Urus Bersama Media: Kesiapsagaan Kerajaan Menghadapi Monsun Barat Daya (MBD) 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, JBPM telah menyediakan inventori aset dan logistik secara menyeluruh termasuk melalui kerjasama bersama agensi lain bagi memastikan keupayaan tindak balas dapat dipertingkat sekiranya berlaku kejadian besar.
Bagi meningkatkan keupayaan operasi di lapangan, katanya JBPM menjangkakan perolehan 200 unit Kenderaan Operasi Ringan (Light Operations Vehicle) yang akan membantu pasukan membuat pemantauan dan pergerakan ke lokasi kejadian dengan lebih pantas.
Selain itu, penggunaan teknologi turut dipertingkat menerusi aset dron.
“Kami juga mempunyai dron, sekarang ada 26 unit... untuk mengurangkan bebanan kepada aset udara kami untuk memantau lokasi kebakaran dan membuat perancangan," katanya.
Beliau berkata, JBPM turut dijangka menerima dua helikopter tambahan bagi memperkukuh keupayaan pemantauan udara serta operasi pemadaman kebakaran.
“Dan insya-Allah, pada penghujung November, kami akan menerima dua tambahan helikopter untuk kami membuat pemantauan dan juga pemadaman," katanya.
Selain itu, beliau berkata, antara persediaan lain yang dilaksanakan ialah mengenal pasti 183 lokasi berisiko yang memerlukan pemantauan, khususnya kawasan yang berpotensi menjadi titik panas.