Skip to main content

Malaysia

Jangan terpengaruh propaganda politik pihak tertentu sengaja serang Farhash – Penganalisis

61748737172_TBFarhashWafa.jpg
Jamaie berkata, dakwaan mengaitkan Farhash dengan kegiatan pengubahan wang haram melibatkan bilion ringgit ke luar negara dilihat lebih bersifat serangan persepsi dan propaganda politik. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Rakyat di negara ini disaran supaya tidak mudah terpengaruh dengan fitnah dan propaganda politik yang didakwa sengaja dimainkan pihak tertentu bagi menyerang Datuk Seri Farhash Wafa Salvador menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pensyarah Kanan Program Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Jamaie Hamil berkata, dakwaan mengaitkan Farhash dengan kegiatan pengubahan wang haram melibatkan bilion ringgit ke luar negara dilihat lebih bersifat serangan persepsi dan propaganda politik.

Menurutnya, rakyat perlu lebih matang dalam menilai sesuatu isu serta tidak mudah termakan hasutan yang dibawa pihak tertentu demi meraih kuasa politik.

“Rakyat perlu matang kerana tugas ahli politik sememangnya mencari kelemahan lawan mereka. Perdana Menteri, Anwar Ibrahim merupakan antara pemimpin terbaik yang Malaysia ada ketika ini, malah di peringkat Asia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, Farhash menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan aktiviti pengubahan wang haram dan pemilikan kewarganegaraan asing, menyifatkannya sebagai fitnah jahat yang bertujuan meraih kepentingan politik.

Farhash menegaskan bahawa beliau bukan seorang warganegara Turkiye dan tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti mencuri atau pengubahan wang haram seperti yang dilemparkan dalam sebuah rakaman video yang tular baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Jamaie berkata, pengundi perlu menilai seseorang pemimpin berdasarkan kemampuan serta kredibiliti mereka dalam memimpin negara ke arah pembangunan lebih baik.

Katanya, serangan peribadi yang sering dimainkan dalam politik hanyalah usaha membentuk persepsi bagi menjatuhkan lawan.

“Isu persepsi ini perkara biasa dalam politik. Pemimpin akan cari apa sahaja kelemahan lawan untuk mempengaruhi pengundi.

“Jadi pendekatan politik matang perlu diterapkan dalam kalangan rakyat supaya mereka dapat menilai pemimpin secara rasional dan tidak dipengaruhi propaganda,” katanya.

Must Watch Video