Skip to main content

Malaysia

Jangan pandang remeh dengkuran, berkemungkinan OSA - Pakar

KANGAR, 28 Mei -- Pakar Perunding Otorinolaringologi sebuah hospital swasta di sini, Dr Zulkifli Hamir Basah ketika ditemubual Bernama baru-baru ini.  Dengkuran yang kerap berlaku ketika tidur tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkemungkinan berpunca daripada masalah Obstructive Sleep Apnea (OSA) yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung sehingga membawa maut sekiranya tidak dirawat dalam tempoh panjang._BERNAMA
Dr Zulkifli berkata individu yang mengalami OSA tidak memperoleh tidur berkualiti sekali gus menyebabkan simptom berkenaan berlaku akibat kerap terjaga pada waktu malam. - Gambar Bernama

KANGAR: Dengkuran yang kerap berlaku ketika tidur tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkemungkinan berpunca daripada masalah Obstructive Sleep Apnea (OSA) yang boleh meningkatkan risiko serangan jantung sehingga membawa maut sekiranya tidak dirawat dalam tempoh panjang.

Pakar Perunding Otorinolaringologi sebuah hospital swasta di sini, Dr Zulkifli Hamir Basah berkata individu yang mengalami gangguan pernafasan ketika tidur juga berisiko menghidap hipertensi dan strok jika keadaan itu terus diabaikan.

Beliau berkata OSA merujuk kepada penyumbatan sepenuhnya saluran pernafasan yang menyebabkan seseorang berhenti bernafas sekurang-kurangnya selama 10 saat ketika tidur sehingga mengurangkan kadar oksigen dan meningkatkan karbon dioksida dalam darah.

“Apabila bekalan oksigen ke jantung berkurangan, ia boleh menyebabkan serangan jantung. Begitu juga jika oksigen ke otak tidak mencukupi, keadaan itu boleh mengakibatkan strok,” katanya ketika ditemui Bernama di hospital berkenaan, baru-baru ini.

Dr Zulkifli berkata orang ramai perlu peka terhadap simptom ketara OSA termasuk kerap sakit kepala pada waktu pagi, hilang fokus, mengantuk melampau walaupun mendapat tidur mencukupi serta badan sentiasa berasa letih.

Beliau berkata individu yang mengalami OSA tidak memperoleh tidur berkualiti sekali gus menyebabkan simptom berkenaan berlaku akibat kerap terjaga pada waktu malam.

“Apabila berhenti bernafas, kadar oksigen dalam darah akan menurun manakala karbon dioksida meningkat dan pH darah menjadi lebih berasid. Pada masa itu, sensor dalam darah akan mengesan keadaan tidak normal tersebut sebelum menghantar isyarat ke otak supaya tubuh bertindak balas untuk bangun.

“Pesakit akan terjaga dalam keadaan seperti sesak nafas untuk menyedut oksigen atau mengalami tersedak dan batuk. Keadaan ini menyebabkan tidur terganggu sehingga individu terbabit mengalami sakit kepala, mengantuk melampau dan hilang fokus pada siang hari,” katanya.

Beliau berkata doktor akan menjalankan Ujian Tidur terhadap pesakit berdasarkan simptom yang dialami bagi mendapatkan Indeks Keterukan Sleep Apnea sebelum menentukan rawatan yang bersesuaian.

“Ujian Tidur ini boleh dilakukan di rumah atau dengan tidur semalaman di hospital menggunakan mesin kecil dan ringan yang dipasang pada dada bagi mengukur tahap oksigen, nadi serta jumlah kekerapan pesakit berhenti bernafas ketika tidur,” katanya.

Dr Zulkifli berkata doktor akan menganalisis data yang direkodkan dalam kad memori mesin berkenaan untuk menentukan tahap keterukan OSA.

Beliau berkata bacaan indeks di bawah lima dianggap normal, manakala enam hingga 15 dikategorikan sebagai ringan, 16 hingga 30 sederhana dan melebihi 30 sebagai tahap teruk.

Menurut pakar itu, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada OSA termasuk saiz tonsil serta ruang hidung atau mulut yang sempit.

Bagaimanapun, katanya kebanyakan kes berpunca daripada obesiti apabila leher menjadi besar akibat pengumpulan tisu lemak berlebihan sehingga menyebabkan saluran pernafasan tersumbat.

“Kebanyakan pesakit sleep apnea yang saya temui mempunyai berat badan berlebihan. Saya juga pernah merawat seorang pesakit seberat 160 kilogram yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat sleep apnea yang serius.

“Nilai Indeks Keterukan Sleep Apnea pesakit itu mencecah 80, iaitu dalam kategori teruk. Namun, pesakit berkenaan kini kembali sihat dan aktif tanpa memerlukan sebarang prosedur pembedahan selepas berjaya menurunkan berat badan,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Zulkifli menasihatkan orang ramai supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan memastikan berat badan berada pada tahap normal berdasarkan bacaan Indeks Jisim Badan (BMI) bagi mengelakkan OSA, sekali gus meningkatkan kualiti hidup serta mengurangkan risiko penyakit kronik.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement