Skip to main content

Malaysia

Isu CCC asrama KPM Beranang, Asyraf Wajdi beri tempoh hingga 15 Julai

“Ajaib! Bila tiba di KPM Beranang tadi, dimaklumkan semua dokumen yang diperlukan untuk dapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) untuk bangunan asrama baru dah selesai. Peliklah, takkan kena Pengerusi MARA turun baru selesai_FB DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Asyraf Wajdi (kiri) ketika melakukan tinjauan di KPM Beranang. -Gambar Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR: Semua urusan berkaitan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) bagi asrama baharu Kolej Profesional MARA (KPM) Beranang diberi tempoh sehingga 15 Julai untuk diselesaikan sebelum fasiliti itu dibenarkan mula beroperasi.

Menerusi kenyataan di Facebook, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Asyraf Wajdi Dusuki  melahirkan rasa hairan apabila dimaklumkan semua dokumen yang diperlukan bagi mendapatkan CCC telah disiapkan dan dihantar pada hari lawatannya ke kampus berkenaan.

“Ajaib! Bila tiba di KPM Beranang tadi, dimaklumkan semua dokumen yang diperlukan untuk dapatkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) untuk bangunan asrama baru dah selesai.

"Peliklah, takkan kena Pengerusi MARA turun baru selesai," katanya.

Menurut beliau, pihaknya menerima banyak aduan daripada pelajar dan ibu bapa yang terpaksa menyewa rumah di luar kampus dengan kos tinggi berikutan asrama baharu yang telah siap sejak 2025 masih belum dapat digunakan kerana CCC belum diperoleh.

Katanya, projek berkenaan sepatutnya siap pada 2023 mengikut kontrak asal yang dipersetujui dengan kontraktor dilantik, namun mengalami kelewatan dengan lapan kali permohonan lanjutan masa serta dikenakan denda melebihi RM200,000.

Walaupun pembinaan siap pada 30 Jun 2025, CCC masih tidak dapat dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Kajang kerana terdapat dua dokumen yang belum disiapkan membabitkan aspek pembentungan yang perlu diselesaikan oleh pihak kontraktor.

Asyraf berkata, beliau dimaklumkan semua perkara berbangkit berkaitan dokumen berkenaan telah diselesaikan dan dihantar pada pagi lawatannya ke kampus tersebut.

“Apa-apapun saya beri tempoh hingga 15 Julai akan datang untuk segalanya dibereskan, diserahkan dan asrama boleh beroperasi sepenuhnya.

"Insya-Allah, saya akan turun sekali lagi untuk menyaksikannya,” katanya.

Asrama tersebut dijangka memberi manfaat kepada 946 pelajar baharu yang akan mendaftar pada 30 Julai depan.

Must Watch Video

Advertisement