Skip to main content

Malaysia

Isu berkaitan PBB, bekalan makanan antara tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Sumber: BERNAMA
Pendirian Malaysia terhadap ketidakseimbangan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan persediaan kerajaan bagi menghadapi unjuran krisis bekalan makanan antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini. - Gambar fail Bernama

KUALA LUMPUR: Pendirian Malaysia terhadap ketidakseimbangan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dan persediaan kerajaan bagi menghadapi unjuran krisis bekalan makanan antara tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, pada sesi soal jawab, Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) meminta Menteri Luar menjelaskan pendekatan strategik Malaysia dalam memperjuangkan reformasi sistem PBB, serta usaha memperkukuh peranan dan kedudukan negara dalam institusi antarabangsa itu.

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) pula meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyatakan pelan kontingensi kerajaan dalam mendepani unjuran krisis bekalan makanan, selain  keberkesanan insentif kepada negeri-negeri pengeluar dalam melonjakkan kadar sara diri domestik susulan kenaikan berterusan kos input pertanian akibat krisis Asia Barat.

Turut menarik perhatian ialah soalan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) kepada Menteri Pertahanan mengenai sama ada kebergantungan Angkatan Tentera Malaysia kepada pembekal asing menjejaskan perancangan pembangunan aset strategik negara, serta langkah mengurangkan risiko gangguan bekalan, kelewatan penghantaran dan pembatalan kontrak pada masa hadapan.

Pada sesi sama, Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menjelaskan langkah menyelaras dasar tenaga negara bagi menyokong pembangunan industri hidrogen hijau, termasuk kerjasama strategik dengan Sarawak untuk merealisasikan aspirasi menjadikan negeri itu sebagai hab hidrogen hijau di Asia Tenggara.

Usai sesi soal jawab, persidangan dijadual diteruskan dengan bacaan kali pertama tujuh Rang Undang-Undang (RUU), termasuk RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026, RUU Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 dan RUU Profesion Kerja Sosial 2026.

Dewan Rakyat kemudiannya akan menyambung semula sesi perbahasan RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 sebelum penggulungan oleh menteri berkaitan.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 16 hari hingga 16 Julai.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement