Skip to main content

Malaysia

IDEAS gesa pelaksanaan DPP telus, seimbang isu pelarian

51744100422_ideas.jpg
Sempena Hari Pelarian Sedunia, IDEAS menggesa kerajaan melaksanakan kerangka DPP secara telus dan menyeluruh, selain menolak sentimen kebencian terhadap pelarian Rohingya.

KUALA LUMPUR: Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menggesa kerajaan memastikan pelaksanaan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dilakukan secara telus dan berkesan bagi mengimbangi pertimbangan kemanusiaan, keyakinan awam serta kepentingan sosioekonomi negara.

Dalam satu kenyataan sempena Hari Pelarian Sedunia pada Jumaat, IDEAS turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan sentimen kebencian dan retorik berunsur perkauman serta xenofobia terhadap komuniti pelarian Rohingya di Malaysia, khususnya di media sosial.

Menurut organisasi itu, perbincangan mengenai pengurusan pelarian dan dasar berkaitan boleh dilakukan secara terbuka, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk menghalalkan bahasa yang bersifat menghina atau tidak berperikemanusiaan.

IDEAS berkata, pengumuman Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai kerangka DPP membuka peluang kepada Malaysia untuk mewujudkan sistem pendaftaran dan pengurusan pelarian yang lebih tersusun serta telus.

Bagaimanapun, organisasi itu berpandangan beberapa persoalan penting masih perlu diperjelaskan, termasuk hak, tanggungjawab dan perlindungan yang bakal diberikan kepada pelarian di bawah kerangka berkenaan.

"Pelaksanaan DPP tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai proses pentadbiran, sebaliknya peluang untuk membangunkan sistem pengurusan pelarian yang lebih menyeluruh dan mampan," menurut kenyataan itu.

IDEAS turut merujuk kajian yang dijalankannya pada 2019 yang menganggarkan pemberian akses pekerjaan secara sah kepada pelarian berpotensi menyumbang lebih RM3 bilion setahun kepada ekonomi Malaysia.

Kajian sama mendapati akses yang lebih baik kepada pendidikan mampu meningkatkan sumbangan ekonomi jangka panjang golongan pelarian selain memberi manfaat kepada sektor perniagaan, tenaga kerja dan kewangan awam.

Sehubungan itu, IDEAS mengesyorkan kerajaan memperjelaskan garis panduan pelaksanaan DPP, termasuk kriteria kelayakan serta akses kepada pekerjaan, pendidikan, penjagaan kesihatan dan perkhidmatan awam lain.

Selain itu, organisasi berkenaan turut menggesa penubuhan kerangka pengurusan pelarian yang telus dan bertanggungjawab, termasuk perlindungan data peribadi serta pelaporan berkala kepada orang awam.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, ketelusan yang lebih baik mampu membantu membina keyakinan awam terhadap dasar berkaitan pelarian.

Menurut beliau, perbincangan awam yang berpaksikan fakta dan bukti akan memudahkan pembuat dasar merangka penyelesaian yang lebih berkesan dan mampan.

Katanya, pendekatan jangka panjang memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, majikan, pertubuhan masyarakat sivil, organisasi antarabangsa dan komuniti setempat.

Pada masa sama, IDEAS menggesa rakyat Malaysia terus mengamalkan nilai belas ihsan dan kemanusiaan terhadap golongan pelarian serta tidak membiarkan ketakutan, prejudis atau maklumat palsu menjejaskan komitmen terhadap maruah insan.

Must Watch Video

Advertisement