Skip to main content

Malaysia

Hubungkan data pencarum LINDUNG 24 JAM, PeKa B40, elak perlindungan bertindih - Penganalisis

Lindung 24 Jam. Pix Perkeso.
LINDUNG 24 JAM telah mula dikuatkuasakan pada 1 Jun untuk memberi perlindungan komprehensif kepada pekerja formal daripada kemalangan di luar waktu kerja. - foto/KESUMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menghubungan data pencarum Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 JAM) dengan penerima manfaat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).  

Perunding Sumber Manusia, Faizal Riduan berkata langkah ini untuk memastikan tidak wujud pertindihan faedah yang diterima melalui dua inisiatif berbeza.

"Manakala untuk golongan B40, mereka layak untuk dapat Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40) dengan perlindungan yang boleh dituntut sehingga RM20,000. Mungkin sistem PeKa ini perlu dihubungkan dengan sistem PERKESO, supaya tidak ada pertindihan perlindungan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Dialog Poket Rakyat pada Jumaat.

Faizal juga mencadangkan agar caruman tambahan untuk LINDUNG 24 JAM ini dikongsi antara pekerja dan majikan.

"Kadar caruman (LINDUNG 24 JAM) akan meningkat sehingga 1.25 peratus. Tetapi masalahnya adalah semua jumlah caruman itu 100 peratus ditanggung oleh pekerja.  

"Saya fikir, potongan untuk caruman itu juga perlu ada sumbangan daripada majikan. Mungkin pekerja bayar RM10, majikan bayar RM5," ujarnya.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial, Azrul Mohd Khalib berbeza pandangan dengan menyatakan perlindungan tambahan tersebut tidak wajar ditanggung majikan memandangkan ia melibatkan perlindungan di luar waktu kerja.

Menurutnya, pekerja harus memahami bahawa kadar caruman tambahan kepada PERKESO untuk LINDUNG 24 JAM sebagai pelaburan demi perlindungan kecemasan peribadi dengan kos yang lebih rendah.

"Sumbangan daripada majikan sudah ada dalam caruman semasa PERKESO. Tetapi disebabkan perlindungan (LINDUNG 24 JAM) ini di luar waktu kerja. Tidak munasabah untuk harapkan majikan tanggung. Di sini kita perlu ambil tanggungjawab untuk melabur dalam perlindungan kesihatan sendiri," jelasnya.

Untuk konteks, LINDUNG 24 JAM telah mula dikuatkuasakan pada 1 Jun untuk memberi perlindungan komprehensif kepada pekerja formal daripada kemalangan di luar waktu kerja. Perlindungan ini merangkumi pelbagai faedah seperti rawatan perubatan, bantuan hilang upaya, dan pembiayaan rehabilitasi fizikal.  

Walaupun pendaftaran awal adalah secara automatik, kerajaan menetapkan bahawa penyertaan bagi pekerja tempatan adalah sukarela, manakala ia kekal mandatori untuk pekerja asing.  

Pekerja tempatan yang tidak mahu menyertai skim ini diberikan pilihan untuk menarik diri dengan mengemukakan permohonan selewat-lewatnya pada 31 Ogos. Selepas tarikh tersebut, penyertaan dianggap kekal, dan caruman yang telah dipotong sebelum penarikan diri tidak akan dipulangkan kerana perlindungan telah pun berjalan. 

Dialog Poket Rakyat: Polisi Keselamatan Sosial, Jaminan Perlindungan Pekerja

Must Watch Video

Advertisement