Skip to main content

Malaysia

Harga Beras Putih Tempatan kekal, stok penimbal cukup enam bulan

81740467358_BERASPUTIHTEMPATAN.jpg
Bekalan makanan ruji negara itu ketika ini berada pada tahap stabil dan mencukupi meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Harga Beras Putih Tempatan (BPT) kekal tanpa sebarang kenaikan, manakala stok penimbal beras negara mencukupi untuk menampung keperluan domestik sehingga enam bulan.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, bekalan makanan ruji negara itu ketika ini berada pada tahap stabil dan mencukupi meskipun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.

Menurutnya, kerajaan memberi keutamaan untuk memastikan bekalan makanan asas tidak terputus serta rakyat tidak dibebani dengan kenaikan harga yang tidak munasabah.

"Bekalan makanan ruji negara ketika ini stabil dan mencukupi. Stok penimbal beras mampu menampung keperluan domestik bagi tempoh enam bulan dan harga Beras Putih Tempatan dikekalkan tanpa kenaikan.

"Dalam keadaan global yang tidak menentu, keutamaan kita adalah memastikan bekalan asas tidak boleh terputus dan rakyat tidak boleh dibebani dengan kenaikan harga yang tidak munasabah," katanya semasa sidang media Taklimat Krisis Bekalan Global di Parlimen hari ini.

Harga BPT kekal pada RM2.60 sekilogram walaupun sebelum ini terdapat cadangan daripada pemain industri supaya harga berkenaan dinaikkan kepada RM3.60 sekilogram.

Dalam pada itu, Akmal berkata, kerajaan memahami tekanan yang ditanggung pesawah susulan perubahan cuaca dan peningkatan kos pengeluaran.

"Sehingga semalam, sebanyak RM45.98 juta telah diagihkan melalui Insentif Pembajakan Kepada Pesawah, melibatkan 118,908 pesawah di Semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut mengambil serius risiko kenaikan harga baja yang boleh meningkatkan kos pengeluaran sektor pertanian.

Menurutnya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang mempelbagaikan sumber input, memperkukuh bantuan kepada pesawah serta menambah baik kawal selia industri.

"Rang Undang-Undang Baja dijangka dibentangkan pada awal 2027 bagi memperkukuh tadbir urus, kualiti dan ketelusan pasaran, di samping meningkatkan daya tahan bekalan input pertanian," katanya.

Akmal berkata, MTEN turut mengambil maklum risiko cuaca panas serta kedudukan paras air empangan.

"Pemantauan akan diperkukuh supaya tindakan mitigasi dapat digerakkan sebelum menjejaskan pengeluaran dan bekalan kepada pengguna," katanya lagi.
 

Must Watch Video

Advertisement