Skip to main content

Malaysia

Hannah Yeoh nafi dakwaan terlibat tukar status tanah Taman Segar, buat laporan polis

Foto Shahir
Hannah berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu cuba menggambarkan seolah-olah beliau mempunyai kuasa dan penglibatan secara langsung dalam proses pertukaran status tanah berkenaan. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan dakwaan kononnya beliau terbabit menukar status tanah di Taman Segar, Cheras daripada pajakan kepada pegangan bebas dalam tempoh singkat adalah tidak berasas dan fitnah.

Beliau berkata, dakwaan yang tular di media sosial itu cuba menggambarkan seolah-olah beliau mempunyai kuasa dan penglibatan secara langsung dalam proses pertukaran status tanah berkenaan.

“Saya telah melihat perkara itu di televisyen dan dimuat naik oleh beberapa pihak hari ini. Semua itu adalah fitnah.

“Ketika sidang media di Taman Segar, Cheras, saya langsung tidak menyentuh soal menukar status tanah daripada pajakan kepada pegangan bebas,” katanya pada sidang media di Menara DBKL, di sini, hari ini.

Menurut Hannah, beliau juga tidak mempunyai sebarang penglibatan dengan pihak berkuasa tanah dalam urusan pertukaran status tanah seperti yang didakwa.

“Saya sendiri tidak terlibat dengan pihak berkuasa tanah dalam urusan tersebut. Jadi ini jelas satu fitnah,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Fadlun Mak Ujud.

Hannah berkata, dua laporan polis telah dibuat berhubung penyebaran dakwaan tersebut iaitu satu pada malam tadi dan satu lagi pagi tadi.

“Saya meminta pihak polis menjalankan siasatan dan saya juga sedang mempertimbangkan tindakan mahkamah terhadap pihak yang menyebarkan fitnah ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya mempunyai rakaman Facebook Live, kenyataan media serta artikel yang diterbitkan sebagai bukti bahawa tiada sebarang kenyataan dibuat berkaitan pertukaran status tanah di Taman Segar, Cheras.

“Mereka terus memainkan isu rakyat dan menyebarkan pembohongan. Kami tidak pernah membuat pengumuman sedemikian di Taman Segar, Cheras,” katanya.

Must Watch Video

Advertisement