KUALA LUMPUR: Sempena sambutan Hari Guru 2026 yang bertemakan “Guru Bitara Nadi Negara”, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) menegaskan keperluan sokongan berterusan dan menyeluruh kepada warga pendidik bagi memastikan sistem pendidikan negara kekal berdaya saing dalam era Revolusi Industri 4.0.
Ketua Pegawai Eksekutif MASA, Azril Mohd Amin berkata, tema tahun ini bukan sekadar simbolik, sebaliknya merupakan pengiktirafan mendalam terhadap peranan kritikal guru sebagai pemacu pembangunan negara.
Guru bukan sekadar pendidik di bilik darjah, tetapi merupakan "nadi utama yang menggerakkan pembangunan bangsa dan negara,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Guru, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan guru sebagai agen transformasi sosial memerlukan dukungan kukuh daripada semua pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pembuat dasar, institusi pendidikan serta masyarakat secara keseluruhan.
Dalam masa sama, Azril menjelaskan sistem pendidikan negara kini berdepan tuntutan perubahan pesat susulan peralihan kepada ekonomi digital dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
“Guru masa kini dituntut untuk menjadi lebih daripada sekadar pendidik tradisional. Mereka perlu menguasai teknologi, memahami dinamika pembelajaran digital serta mengintegrasikan inovasi dalam kaedah pengajaran,” katanya.
Namun, beliau mengingatkan bahawa usaha melonjakkan kemahiran masa hadapan tidak seharusnya mengabaikan asas pendidikan seperti literasi, numerasi dan pembentukan nilai.
“Terdapat risiko bahawa agenda ‘future-ready’ menjadi sekadar retorik jika jurang asas pembelajaran, khususnya antara kawasan bandar dan luar bandar, tidak ditangani secara sistematik,” katanya lagi.
Mengulas mengenai Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 yang dilancarkan pada Januari lalu, Azril berkata inisiatif itu meletakkan guru sebagai pemacu utama transformasi pendidikan, namun pelaksanaannya perlu melangkaui perubahan kosmetik.
“Cabaran struktur seperti beban tugasan bukan akademik, tekanan pentaksiran dan kekangan pembangunan profesional berterusan merupakan isu lama yang perlu diselesaikan secara tuntas,” ujarnya.
Selain itu, aspek kesejahteraan guru turut menjadi perhatian apabila kajian Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati isu kesihatan mental dalam kalangan guru semakin mendesak.
“Keseimbangan antara tuntutan kerja dan kesihatan mental mesti menjadi agenda utama. Guru yang sejahtera dari segi emosi, mental dan fizikal akan lebih berupaya melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan,” kata beliau.
Sehubungan itu, MASA menggesa KPM mengambil langkah lebih proaktif bagi memperkukuh profesion perguruan, termasuk menyediakan akses kepada infrastruktur dan teknologi pendidikan terkini, memperluas peluang pembangunan kompetensi serta memberi pengiktirafan sewajarnya kepada guru.
Mengakhiri kenyataan, Azril merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik atas jasa dan pengorbanan mereka.
“Selamat menyambut Hari Guru kepada semua pendidik. Anda bukan sekadar guru, tetapi tunjang dan nadi pembangunan negara,” katanya.