IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata warga pendidik perlu berjiwa besar dalam menerima cabaran dan teguran secara positif, terutama berkaitan kepincangan serta masalah membabitkan pelajar.
Beliau berkata pendidikan tidak boleh terlepas daripada dikaitkan dengan peribadi, sahsiah, insan atau kemanusiaan dan sebarang masalah yang timbul sering dikaitkan dengan sekolah sehingga akhirnya kadang-kadang membebankan warga pendidik.
“Masalah masyarakat tentunya menyentuh anak-anak di sekolah dan tentu menimbulkan keributan. Seolah-olah ini hanya berlaku di sekolah, padahal apa yang berlaku kadang-kadang kepincangan, kebobrokan dari segi moral, itu kerana kita sebahagian daripada masyarakat.
“Saya harap guru-guru lihat ini secara positif. Kalau terbeban dengan teguran dan kritikan, sebagainya yang tidak adil, guru-guru kena terima dengan baik untuk bangkitkan dan pastikan generasi akan datang jauh lebih baik daripada kita,” kata Perdana Menteri.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek serta Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.
Anwar yang sesekali membahasakan dirinya sebagai 'Cikgu Anwar', berkata Kementerian Pendidikan (KPM) kini sedang menyiapkan kerangka pendidikan yang bukan sahaja memfokuskan kepada kemajuan ekonomi dan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) serta digital, malah terus mempertahankan jati diri dan nilai murni.
"Kalau kita lihat hampir semua negara mempunyai dasar pendidikan mereka dan dinilai dari semasa ke semasa. Tapi di Malaysia, di negara MADANI ini ada kelainan. Kita tidak mahu ketinggalan dari sudut teknologi baru, AI (kecerdasan buatan). Anak-anak harus dipersiapkan dengan keperluan semasa, kalau tidak kita akan ketinggalan.
"Tetapi dalam semua matlamat itu, untuk mencapai yang murni, tidak pernah kita abaikan atau remehkan kepentingan mempertahankan nilai kemanusiaan kita sebagai rakyat Malaysia dan nilai yang disebut sebagai akhlak masyarakat," kata beliau.
Selain itu, beliau juga menekankan konsep "kecemerlangan tanpa roh" dengan menegaskan bahawa kepintaran akademik semata-mata tidak memadai jika ia terpisah daripada nilai kemanusiaan, akhlak dan keprihatinan sosial.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut berkongsi kisah peribadi mengenai hubungan akrab beliau dengan bekas gurunya yang juga bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Allahyarham Tan Sri Rahman Arshad, sebagai simbol penghormatan tinggi seorang murid terhadap guru.
Di majlis sama Anwar turut menyampaikan tiga anugerah iaitu Sekolah Terbaik Dunia iaitu kepada Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (1), Putrajaya, Anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan kepada Ahmad Rafee Che Kassim dan Anugerah Tokoh Guru Kebangsaan kepada Abdul Rasid Bakar.
-- BERNAMA