Skip to main content

Malaysia

Generasi muda perlu seimbang ilmu, integriti dan kemanusiaan dalam era digital - Fadillah

Sumber: Astro AWANI
Fadillah mengingatkan generasi muda supaya tidak hanya mengejar kecanggihan teknologi dan ilmu pengetahuan, sebaliknya turut mengutamakan integriti, kebijaksanaan serta nilai kemanusiaan dalam mendepani cabaran era digital. - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mengingatkan generasi muda supaya tidak hanya mengejar kecanggihan teknologi dan ilmu pengetahuan, sebaliknya turut mengutamakan integriti, kebijaksanaan serta nilai kemanusiaan dalam mendepani cabaran era digital.

Beliau berkata walaupun kecerdasan buatan (AI) semakin maju dan berupaya melaksanakan pelbagai tugas kompleks, teknologi tidak akan dapat menggantikan kebijaksanaan, belas ihsan dan karakter yang menjadi asas kepimpinan sebenar.

“Kecerdasan buatan mungkin menjadi semakin pintar, namun ia tidak akan pernah menggantikan kebijaksanaan. Teknologi mungkin menjadi semakin pantas, namun ia tidak mampu menggantikan belas ihsan. Maklumat mungkin menjadi tanpa batas, namun karakter tetap menjadi ukuran sebenar kepimpinan.

“Era digital akan menawarkan peluang yang luar biasa, namun pada masa yang sama ia akan menguji pertimbangan, integriti dan nilai kemanusiaan anda,” katanya ketika berucap merasmikan ADNI International Students' Conference (AISC) 2026 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Fadillah menggesa para pelajar agar terus memupuk sifat ingin tahu, tidak pernah berhenti menimba ilmu dan sentiasa belajar daripada kepelbagaian pengalaman serta perspektif rakan-rakan daripada pelbagai latar belakang.

Beliau berkata pendidikan bukan sekadar bertujuan mengasah keupayaan intelektual, malah turut berperanan membentuk hati dan jiwa yang prihatin terhadap masyarakat.

“Biarlah pendidikan yang anda peroleh menajamkan bukan sahaja minda, tetapi juga hati. Biarlah kejayaan yang anda capai memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada keluarga, komuniti dan negara anda,” katanya.

Menurut beliau, pemimpin yang diperlukan rantau ini pada masa depan sedang dibentuk melalui pilihan dan tindakan yang dibuat oleh generasi muda hari ini.

Fadillah turut menyeru pelajar agar berani bermimpi besar, terus belajar sepanjang hayat, memimpin dengan rendah hati dan berkhidmat dengan penuh amanah.

Beliau berkata jika golongan muda mampu membawa ilmu bersama integriti, menghargai kepelbagaian dengan penuh hormat dan memanfaatkan inovasi dengan belas ihsan, mereka bukan sahaja akan mewarisi masa depan yang lebih baik, malah berupaya menciptanya.

“Beranilah bermimpi. Teruskan belajar. Pimpinlah dengan rendah hati. Berkhidmatlah dengan penuh amanah.

“Jika anda membawa ilmu dengan integriti, menghargai kepelbagaian dengan penuh hormat dan memanfaatkan inovasi dengan belas ihsan, saya yakin generasi anda bukan sahaja akan mewarisi masa depan yang lebih baik, malah akan membinanya,” katanya.

 

Must Watch Video

Advertisement