KUALA LUMPUR: Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang dan Tren Elektrik (ETS) mengalami kelewatan susulan insiden melibatkan kerja pembinaan jambatan oleh kontraktor Jabatan Kerja Raya (JKR) di Batang Benar.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memaklumkan, kerja bagi projek laluan utiliti atau wayleave itu dijalankan tanpa mendapat kelulusan kerja daripada pihaknya.
Menurut KTMB, struktur kayu dari tapak pembinaan terjatuh ke atas landasan sebelum menghempap sistem elektrik talian atas di antara Batang Benar dan Labu.
Insiden itu menyebabkan kerosakan pada sistem bekalan elektrik sekali gus menjejaskan operasi tren di laluan berkenaan.
Susulan kejadian, perkhidmatan KTM Komuter dari Pulau Sebang menuju ke KL Sentral ditamatkan di Stesen Seremban.
Perjalanan menuju KL Sentral dan Batu Caves pula hanya bermula dari Stesen Bangi.
“Tiada perkhidmatan KTM Komuter di antara Stesen Bangi dan Stesen Seremban sehingga dimaklumkan kelak.
“Penumpang yang menggunakan laluan terjejas disarankan mendapatkan pengangkutan alternatif bagi meneruskan perjalanan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
KTMB menyediakan tiga bas perantara bagi membantu penumpang di Seremban, Tiroi, Batang Benar, Labu dan Bangi meneruskan perjalanan.
Bagi perkhidmatan ETS yang terjejas, tujuh bas perantara disediakan di Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang dan Seremban.
Penumpang ETS yang memilih untuk tidak meneruskan perjalanan dari stesen permulaan layak menerima pemulangan tambang penuh.
Pasukan teknikal KTMB sedang menjalankan kerja pembaikan sistem elektrik talian atas bagi membolehkan perkhidmatan tren kembali beroperasi secepat mungkin.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan perkembangan terkini menerusi saluran media sosial rasmi KTMB atau menghubungi kakitangan stesen yang bertugas.