BENTONG: Enam lelaki maut selepas kereta jenis Toyota Vios yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori satu tan berhampiran Klinik Desa Jambu Rias di Jalan Karak Lama menghala Temerloh, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.25 pagi itu, semua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi selepas tersepit di dalam kenderaan akibat rempuhan berkenaan.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Mugilan Vraputiran, 25 tahun, Dinesvaran Kumar, 22 tahun, Alaganathan Krishnan, 20 tahun, Kanabati Raja Arunasalam, 18 tahun, Kiisyen Sasi Kumar, 16 tahun, dan Paranthaman Marutayah, 15 tahun.
Pemandu lori satu tan, Muhamad Hanafi Ahmad Raju, 31 tahun, pula mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menaiki ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menerima rawatan.
Pegawai Bomba Kanan II Mohd Faizz Mohd Pauzi berkata, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Karak bersama sebuah jentera LFRT dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.24 pagi.
Katanya, operasi turut dibantu sembilan anggota dari BBP Mentakab bersama sebuah jentera FRT.
"Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios dan sebuah lori satu tan. Enam mangsa yang berada di dalam Toyota Vios didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM.
"Pasukan bomba menggunakan peralatan penyelamat khas termasuk Rescue Tool dan Combi Tool untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit sebelum mayat diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
"Mangsa yang cedera diserahkan kepada KKM," katanya.
Operasi yang diketuai Mohd Faizz itu berjaya dikawal pada jam 5.57 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.40 pagi.
Punca kemalangan masih dalam siasatan polis.