KUALA LUMPUR: Penganjuran Citrawarna 2026 yang kembali mewarnai Dataran Merdeka malam tadi menerima reaksi pelbagai daripada warga maya dengan rata-ratanya meluahkan rasa tidak puas hati terhadap penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang didakwa menjejaskan "jiwa" kebudayaan Malaysia.
Tinjauan di beberapa platform media sosial mendapati, rata-rata netizen mempersoalkan keputusan penganjur yang menggunakan hampir 90 peratus muzik janaan AI serta poster digital yang dianggap tidak menyokong penggiat seni tempatan.
Seorang pengguna media sosial menyifatkan persembahan malam tadi sebagai "hilang jiwa" dan terlalu mengejar elemen moden sehingga membelakangkan keaslian warisan yang pernah diperjuangkan tokoh seni tanah air sebelum ini.
"Sangat rindu Citrawarna zaman arwah Pak Ngah. Malam tadi terasa tidak ada roh, semuanya laju seperti mahu berlumba. Kita mahu tunjukkan keindahan budaya kepada pelancong, tetapi yang disajikan lebih kepada potret moden yang 'dimesinkan' semata-mata," tulis seorang pengguna.
Isu penyusunan muzik juga menjadi tumpuan apabila ada pihak mendakwa lagu tradisional ikonik seperti 'Dikir Bertingkah' diubah suai menggunakan AI sehingga kehilangan identiti asalnya apabila dimasukkan elemen dangdut yang dianggap tidak bersesuaian.
Netizen turut mencadangkan agar pihak penganjur sepatutnya memanfaatkan bakat-bakat vokal tempatan yang berlatar belakangkan pendidikan muzik seperti Aisha Retno, Daniel Chuer, dan Elica Paujin bagi mengangkat martabat lagu-lagu kebudayaan negeri dengan lebih profesional.
Walau bagaimanapun, di sebalik kritikan terhadap aspek teknikal dan produksi, rata-rata netizen memberikan pujian melambung kepada barisan penari muda yang terlibat.
"Tahniah kepada adik-adik yang membuat persembahan. Walaupun penat, senyuman tetap tidak lekang di wajah sepanjang perarakan. Semangat anak muda Malaysia ini yang sebenarnya menghidupkan suasana," kata seorang lagi pengguna di Threads.
Selain persembahan, sisi positif yang turut dikongsi netizen adalah mengenai pengalaman sosial sepanjang acara berlangsung, termasuk peluang berinteraksi dengan pengunjung daripada pelbagai latar belakang serta sokongan terhadap peniaga makanan tradisional yang turut memeriahkan tapak acara.
Citrawarna 2026 dijadualkan berlangsung dari 24 hingga 26 Julai di Dataran Merdeka, menampilkan pelbagai perarakan budaya dan tarian dari seluruh Malaysia bagi menarik pelancong sempena persediaan Tahun Melawat Malaysia.