Skip to main content

Malaysia

Berdepan pelbagai pertuduhan, pengutip hutang mohon "hukuman seberat-beratnya"

71743102937_courtgavel.jpg
Seorang pengutip hutang yang berdepan pelbagai pertuduhan jenayah, termasuk mengurung dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki minggu lepas, hari ini memohon agar mahkamah “menjatuhkan seberat-berat hukuman ke atas dirinya.”

SHAH ALAM: Seorang pengutip hutang yang berdepan pelbagai pertuduhan jenayah, termasuk mengurung dan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki minggu lepas, hari ini memohon agar mahkamah “menjatuhkan seberat-berat hukuman ke atas dirinya.”

Mohamad Fadwan Abd Muaain, 42, membuat permohonan itu kepada Hakim Mahkamah Sesyen Hasniah Ab Razak selepas mengaku bersalah merompak seorang wanita warga Indonesia Aminah Yeni Fernata di sebuah rumah kedai kosong di Kota Kemuning, Seksyen 31 di sini pada 8.45 pagi 8 Mei lepas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hoo Zee Xing memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh namun bekas banduan itu, yang tidak diwakili peguam, mencuri tumpuan apabila secara tiba-tiba membuat permohonan tersebut.

Hasniah kemudian menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bermula hari ini dan tiga sebatan terhadap Mohamad Fadwan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebatan.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Mohamad Fadwan dijatuhi hukuman penjara berjumlah 15 bulan oleh Majistret Wan Noora Nisa Ngadrin selepas mengaku bersalah mengurung dan mencederakan remaja lelaki berumur 14 tahun itu.

Mahkamah memerintahkan bapa tunggal itu dipenjara sembilan bulan bagi kesalahan mengurung dan enam bulan bagi kesalahan mencederakan mangsa, dengan kedua-dua hukuman berjalan secara berasingan bermula hari ini.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Fadwan didakwa secara salah mengurung remaja itu dengan mengikat tangan dan kaki mangsa di sebuah pangsapuri di Seksyen 32 di sini antara 8.05 pagi hingga 11.50 pagi 11 Mei lepas.

Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada remaja itu di lokasi dan pada masa sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 342 dan 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Pada prosiding itu, Wan Noora Nisa mempersoalkan tindakan tertuduh yang tidak memikirkan trauma dialami mangsa dan Mohamad Fadwan mendakwa dia cuba mendapatkan maklumat bagi tujuan memecah masuk rumah remaja berkenaan untuk mencuri emas.

Mohamad Fadzwan turut mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Rasyihah Ghazali atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas remaja sama di lokasi dan waktu serupa mengikut Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. 

Bagi kes ini, mahkamah menetapkan 8 Jun depan untuk mendengar fakta kes dan rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.

Dia juga mengaku bersalah di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman atas tiga pertuduhan iaitu menyamar sebagai anggota polis, mencuri motosikal dinaiki Aminah Yeni serta memasukkan dadah ke dalam badan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi kesalahan menyamar sebagai polis dan penjara setahun bagi kesalahan mencuri motosikal, yang diperintah berjalan serentak dari tarikh tangkap iaitu pada 15 Mei lepas.

Bagi kesalahan berkaitan dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, mahkamah menetapkan 5 Ogos ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan patologi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement