Skip to main content

Malaysia

Beg pasir mampu kawal hakisan pantai Batu Ferringhi hingga tiga tahun

61754742340_ZairilKhirJohari.jpg
Zairil berkata, langkah mitigasi jangka sederhana yang dilaksanakan JPS itu bertujuan mengurangkan impak ombak terhadap garis pantai dan mengawal kadar hakisan. - Gambar fail

GEORGE TOWN: Pemasangan beg pasir dijangka mampu mengawal hakisan pantai di Batu Ferringhi, khususnya kawasan Lone Pine untuk tempoh dua hingga tiga tahun sementara menunggu pelaksanaan projek perlindungan pantai jangka panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata langkah mitigasi jangka sederhana yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu bertujuan mengurangkan impak ombak terhadap garis pantai, mengawal kadar hakisan serta melindungi kawasan yang dikenal pasti mengalami hakisan paling kritikal.

Beliau berkata berdasarkan penilaian teknikal JPS, keberkesanan kaedah itu bergantung kepada keadaan cuaca, ombak serta faktor semula jadi seperti pasang surut air laut dan kejadian cuaca ekstrem, namun dijangka mencukupi sebagai penyelesaian sementara sehingga projek perlindungan pantai secara menyeluruh dilaksanakan.

“Kerja pemasangan beach container (beg pasir) telah mula dilaksanakan di pantai berhadapan sebuah hotel pada 8 Julai lepas dan dijangka siap pada 10 Ogos ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan kerja mitigasi sebelum ini berdepan beberapa cabaran utama yang mempengaruhi kemajuan kerja di tapak antaranya keadaan pasang surut air laut, ombak dan cuaca yang tidak menentu serta kekangan akses keluar masuk jentera.

Beliau berkata sekiranya kerja mitigasi itu tertangguh dalam tempoh panjang, keadaan hakisan berisiko menjadi lebih serius dan merebak ke daratan sehingga menjejaskan struktur kekal, kemudahan awam serta infrastruktur berhampiran pantai.

Zairil berkata kerajaan negeri melalui JPS turut merancang projek perlindungan pantai jangka panjang yang lebih menyeluruh di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), yang kini berada dalam fasa pelantikan perunding bagi menyediakan reka bentuk terperinci sebelum kerja pembinaan dimulakan.

Projek itu, katanya, merangkumi pembinaan struktur perlindungan pantai termasuk struktur outfall, struktur perlindungan hakisan serta kaedah pemulihan pantai bagi mengurangkan kadar hakisan, menstabilkan garis pantai dan melindungi infrastruktur, aset awam serta kawasan pelancongan di Batu Ferringhi secara mampan.

Beliau berkata kerja mitigasi berkenaan melibatkan kos keseluruhan RM500,000 yang merangkumi kerja pembersihan tapak, pemotongan pokok tumbang dan pemasangan 62 unit beg pasir secara lima lapisan setinggi kira-kira lima meter bagi melindungi kawasan sejauh 44 meter di lokasi hakisan paling kritikal.

“Kerajaan negeri dan JPS memberi jaminan pelaksanaan kerja mitigasi dirancang dan dilaksanakan dengan mengambil kira aspek keselamatan pengunjung, kelangsungan aktiviti pelancongan serta kelestarian alam sekitar bagi memastikan Batu Ferringhi antara destinasi pelancongan utama di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata JPS akan terus memantau pelaksanaan kerja bagi memastikan impaknya terhadap aktiviti pelancongan dan alam sekitar berada pada tahap minimum, selain memastikan kawasan pantai kekal selamat sementara menunggu pelaksanaan projek perlindungan pantai jangka panjang.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement