MEKAH: Jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan sakit tekak dikenal pasti sebagai antara masalah kesihatan paling tinggi dalam kalangan jemaah haji Malaysia di Tanah Suci ketika ini.
Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kesihatan), Dr Muhammad Zamri Harun berkata, keadaan cuaca panas melebihi 40 darjah Celsius, persekitaran berdebu serta kehadiran jutaan jemaah di satu tempat menyumbang kepada peningkatan kes tersebut.
Menurut beliau, selain batuk dan sakit tekak, jemaah turut berdepan masalah kulit kering serta kecederaan tisu lembut akibat pergerakan fizikal yang tinggi sepanjang melaksanakan ibadah.
“Jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan sakit tekak antara kes yang paling banyak kita terima ketika ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, pendedahan berpanjangan kepada cuaca panas juga meningkatkan risiko keletihan haba yang boleh berkembang kepada strok haba jika tidak ditangani dengan segera.
Dalam keadaan tersebut, jemaah berkemungkinan mengalami simptom seperti pening, keletihan melampau serta kekeliruan yang boleh menjejaskan keupayaan mereka untuk beribadah.
Bagi mengurangkan risiko, TH giat melaksanakan program pendidikan kesihatan termasuk memberi penerangan secara langsung di bilik penginapan jemaah.
Jemaah juga dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar, terutama pada waktu siang, selain memastikan pengambilan air mencukupi sepanjang hari.
“Kita galakkan jemaah minum sekurang-kurangnya 10 gelas air sehari walaupun tidak haus serta banyakkan rehat terutama seminggu sebelum wukuf,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan disiplin dalam pengambilan ubat, khususnya bagi pesakit kronik seperti darah tinggi dan diabetes.
“Jemaah perlu terus makan ubat seperti biasa. Jangan bergantung kepada doa semata-mata tanpa menjaga kesihatan,” katanya.
Selain itu, penggunaan pelembap kulit turut digalakkan bagi mengatasi masalah kulit kering akibat cuaca panas.
Beliau berkata, penjagaan kesihatan yang baik amat penting bagi memastikan jemaah kekal bertenaga dan tidak terjejas menjelang hari wukuf di Arafah.
Katanya, aspek kesihatan perlu diberi perhatian serius kerana ia menjadi faktor penentu keupayaan jemaah untuk melaksanakan ibadah haji dengan sempurna.