KANGAR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan anak lelaki kepada bekas Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli daripada pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM19,505.10 pada Februari 2024.
Hakim Datuk Nu'aman Mahmud Zuhudi dalam penghakimannya berkata mahkamah memutuskan pihak pendakwaan gagal mewujudkan prima facie kes terhadap pertuduhan ke atas Mohd Syafeeq Mohd Shukri, 37, setelah mahkamah meneliti keterangan saksi-saksi.
“Oleh yang demikian tertuduh dilepaskan, dibebaskan daripada pertuduhan tanpa dipanggil membela diri, wang jaminan (RM20,000) dikembalikan,” kata hakim berkenaan.
Pada 23 Mei 2024, Mohd Syafeeq mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas pertuduhan memberi satu dokumen iaitu Pesanan Kerajaan (Bekalan/Perkhidmatan) Kerajaan Negeri Perlis kepada Nurul Nabilah Mohd Sukri, yang bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Bahagian Pentadbiran Daerah, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis pada 19 Feb 2024 dengan niat memperdayakan prinsipalnya.
Mohd Syafeeq didakwa mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen tuntutan berjumlah RM19,505.10 bertarikh 14 Feb 2024, atas nama Mohd Farid Abdul Hamid berkaitan Perkhidmatan Menyediakan Minuman Untuk Kegunaan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Hospital Tuanku Fauziah di sini itu, mengandungi butir matan palsu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2) akta sama.
Mohd Syafeeq diwakili Peguam Mohd Fadhly Yaacob.
Sementara itu, bercakap kepada pemberita Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Fariz Abdul Hamid, yang mengendalikan pendakwaan kes itu berkata 11 saksi pendakwaan dikemukakan sepanjang tempoh dua tahun perbicaraan kes berkenaan.
Ahmad Fariz berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan notis rayuan kepada Mahkamah Tinggi Kangar dalam tempoh 14 hari untuk semakan keputusan Mahkamah Sesyen itu.
-- BERNAMA