Skip to main content

Malaysia

Agong terima watikah pelantikan enam ketua perwakilan asing ke Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Julai -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan beramah mesra bersama ketua-ketua perwakilan yang baharu dilantik pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada bakal ketua-ketua perwakilan Malaysia ke luar negara di Singgahsana Kecil, Istana Negara hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Yang di-Pertuan Agong berkenan beramah mesra bersama ketua-ketua perwakilan yang baharu dilantik pada Istiadat Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada bakal ketua-ketua perwakilan Malaysia ke luar negara di Singgahsana Kecil, Istana Negara hari ini. --fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima watikah pelantikan enam ketua perwakilan asing ke Malaysia di Istana Negara, hari ini.

Istiadat penyerahan watikah pelantikan oleh ketua-ketua perwakilan asing ke Malaysia itu berlangsung di Singgahsana Kecil, Istana Negara.

Ketua perwakilan asing berkenaan ialah Pesuruhjaya Tinggi Mauritius ke Malaysia Rabin Gungoo, Duta Besar Turkiye ke Malaysia Nevzat Uyanik dan Pesuruhjaya Tinggi Brunei ke Malaysia Abdu’r Rahmani Basir.

Sultan Ibrahim turut berkenan menerima watikah pelantikan daripada Ahmed Olatunji Sulu Gambari (Nigeria), Raymond Serge Bale (Congo) dan Ermal Muça (Albania).

Sultan Ibrahim turut berkenan mengurniakan watikah pelantikan kepada lima perwakilan Malaysia ke luar negara.

Ketua Perwakilan Malaysia ke luar negara yang baharu dilantik ialah Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Muzafar Shah Mustafa, Duta Besar Malaysia ke Vietnam Jamal Sharifuddin Johan dan Duta Besar Malaysia ke Mexico Muhammad Radzi Jamaludin.

Turut menerima watikah pelantikan ialah Duta Besar Malaysia ke Itali Datuk Shahabudeen Adam Shah dan Duta Besar Malaysia ke Maghribi Edi Irwan Mahmud.

Hadir sama pada istiadat berkenaan ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Tan Sri Amran Mohamed Zin.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement