JOHOR BAHRU: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan 148 ekor lembu sempena ibadah korban Hari Raya Aidiladha tahun ini untuk diagihkan kepada rakyat di seluruh Johor.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kurniaan itu mencerminkan kasih sayang, keprihatinan serta kedekatan Institusi Diraja Johor yang sentiasa mengutamakan kebajikan Bangsa Johor.
Beliau turut menzahirkan kesyukuran dan merafak sembah ucapan terima kasih atas limpah kurnia serta keprihatinan Seri Paduka Baginda yang juga Sultan Johor.
“Patik dan seluruh rakyat jelata mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku sekeluarga sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan serta berada dalam rahmat dan lindungan Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan di Facebook, semalam.
Sementara itu, Onn Hafiz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, di peringkat daerah, Program Korban Perdana Simpang Renggam turut menyaksikan pengagihan 32 ekor lembu korban di seluruh kawasan berkenaan.
Katanya pengagihan itu merangkumi masjid, surau, kampung serta pelbagai pihak yang memerlukan.
-- BERNAMA